63 VARIA RANAH 2023 Kepentingan Sumber Organisasi Bagi Meningkatkan Kreativiti Perkhidmatan Awam di Malaysia PENGENALAN Perkhidmatan awam merupakan tunjang kepada pembangunan negara. Secara umumya, peranan utama perkhidmatan awam adalah sebagai pelaksana kepada dasar serta program yang telah ditetapkan kerajaan. Dasar yang dibangunkan kerajaan adalah bagi memastikan kesejahteraan dan kehidupan rakyat adalah lebih baik. Sektor awam kebelangan ini telah mengalami tekanan yang semakin meningkat untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dengan sumber yang berkurangan. Pelaksanaan dasar sangat berkait dengan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat. Perkhidmatan awam bertanggung jawab untuk memastikan kejayaan pelaksanaan sesuatu dasar kerajaan. Objektif pembangunan sesuatu dasar perlu difahami dan dihayati sepenuhnya pegawai awam bagi memastikan dasar yang dibangunkan memberi impak kepada rakyat. Pada masa kini, perkhidmatan awam turut berdepan dengan pelbagai cabaran global seperti ketidaktentuan ekonomi, dinamika politik, penyebaran wabak penyakit, perubahan iklim dan sebagainya. Cabaran kompleks ini memerlukan perkhidmatan awam untuk sentiasa bersedia dan berupaya menangani krisis dengan pantas. Organisasi sektor awam perlu mempunyai sumber yang yang optimum bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik. Pada masa kini, sumber organisasi adalah amat terhad. Sumber organisasi penting bagi meningkatkan kreativiti organisasi. Oleh itu, bagi membolehkan rakyat menerima perkhidmatan yang terbaik, sumber organisasi perlu diberi perhatian. Selain itu, bagi memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan dan berdaya saing dalam persekitaran dunia yang pantas berubah, kreativiti perlu dibudayakan dengan lebih meluas dalam perkhidmatan awam. Kreativiti telah menjadi trend penting dalam dunia persaingan masa kini. Tanpa kreativiti akan menyebabkan organisasi menjadi semakin kurang berdaya saing dan tidak lagi relevan dalam persaingan. Oleh itu, tindakan yang lebih drastik perlu dilaksanakan dalam membudayakan kreativiti dalam perkhidmatan awam di Malaysia. PERNYATAAN MASALAH Kajian ini dilaksanakan berdasarkan kepada beberapa permasalahan yang dikenal pasti melalui pemerhatian secara umum. Permasalahan yang wujud telah mendorong kepada pelaksanaan kajian ini dan dijelaskan secara terperinci pada perenggan berikutnya. Berdasarkan Pusat Daya Saing Dunia (WCC), Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD), kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia telah jatuh tujuh tangga dari kedudukan ke-25 pada tahun 2021 kepada kedudukan 32 bagi tahun 2022 (IMD, 2023). Kedudukan negara pada tahun 2020 adalah di tangga 27. Manakala negara berada di kedudukan 22 bagi tahun 2018 dan 2019. Penurunan kedudukan negara dalam Ranking Daya Saing Dunia memerlukan tindakan susulan yang drastik melibatkan semua pihak. Selain kedudukan secara keseluruhan, salah satu pengukuran dalam Ranking Daya Saing Dunia adalah dari segi kecekapan kerajaan. Dari segi kecekapan kerajaan, didapati kedudukan Malaysia semakin menurun bermula tahun 2018 pada kedudukan 23. Pada tahun 2022, jatuh 8 tangga kepada kedudukan 38 daripada kedudukan 30 pada tahun 2021 dan tahun 2020. Jika dilihat secara keseluruhannya dari tahun 2018, Malaysia telah mengalami penurunan sebanyak 15 tangga. Trend penurunan ini amat membimbangkan dan memerlukan perhatian serius berhubung kecekapan kerajaan.
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy