PENGENALAN Penuaan yang pantas merupakan fenomena yang akan memberikan ancaman kepada Malaysia dalam beberapa dekad yang mendatang. Peningkatan bilangan warga tua dalam Negara akan mencetuskan beberapa cabaran dalam pertumbuhan ekonomi Negara. Pada 2019, Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan peratusan rakyat Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas akan merangkumi 15 peratus dari jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2030. Ini memberikan gambaran Malaysia akan bergelar negara tua dalam tempoh tidak kurang dari 10 tahun lagi. Sementara itu, unjuran PBB (2009), menyatakan Malaysia akan mencapai status negara tua pada tahun 2030, apabila penduduk yang berumur 60 tahun ke atas mencapai 15 % daripada jumlah penduduk. Antara 2050 dan 2055, bilangan warga emas berumur 60 tahun atau lebih akan bersamaan dengan bilangan orang muda di bawah umur selama 15 tahun di Malaysia. Semua perubahan ini akan mempunyai implikasi ketara kepada ekonomi dan masyarakat (Tengku Aizan, 2015). Menurut Dasar Warga Emas Negara (KPWKP, 2011), penuaan penduduk berlaku apabila peratusan penduduk warga emas berumur 60 tahun dan ke atas mencecah 15% daripada jumlah penduduk. Menurut Nik Norliati (2018), peningkatan jumlah warga emas sebenarnya disumbangkan oleh faktor-faktor positif sosioekonomi seperti peningkatan taraf pendidikan, pekerjaan, tahap penjagaan kesihatan, penurunan kadar kematian dan peningkatan jangka hayat individu. Selain dari itu, pengurangan kadar kesuburan dan pemerkasaan wanita turut menyebabkan berlakunya perubahan dalam demografi penduduk di Malaysia. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata berdasarkan bancian dalam tempoh 10 tahun bermula 2010 hingga 2020, fenomena penuaan meningkat kepada 6.8 peratus berbanding lima peratus. Beliau berkata, dengan peningkatan peratusan kelompok berusia 65 tahun ke atas itu bakal menjadikan Malaysia negara tua menjelang 2030. (Berita Harian, 29 Mei 2022). Impak negara menua merentasi pelbagai sektor, bukan sahaja tertumpu kepada hal-hal berkaitan dengan penjagaan dan kebajikan warga emas, malahan melangkaui aspek cabaran kesihatan, pendidikan, kewangan, produktiviti dan guna tenaga buruh serta penggunaan teknologi. 5 VARIA RANAH 2023 Malaysia Negara Menua: Peranan Jentera Kerajaan
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy