52 Penerapan Konsep MADANI dalam Perkhidmatan Awam Definisi Malaysia MADANI adalah “sintesis gaya Malaysia, yang menggabung jalin amalan sedia ada dengan kaedah baru yang direka untuk menangani isu-isu baru dan ketidakpastian. MADANI diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan, dengan mengambil kira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur” (Pejabat Perdana Menteri, 2023). Oleh itu, golongan OKU juga tidak harus ketinggalan merasai reformasi pemulihan yang diaspirasikan melalui konsep Malaysia MADANI dengan peluang untuk menjalani kehidupan sejahtera dan makmur seperti manusia lain. Walaupun konsep Malaysia MADANI telah dihuraikan melalui kerangka dasar dan pelbagai elemen, masih terdapat ruang bagi penambahbaikan dan pemantapan melalui penjelasan yang lebih terperinci dan pengaplikasian nilai-nilai teras tersebut dilaksana melalui pendekatan pengurusan perubahan dalam sektor awam. Artikel ini memberi fokus kepada golongan OKU dalam menggalakkan inklusiviti sektor awam Malaysia. Oleh itu, konsep Malaysia MADANI perlu terus dikaji dan ditambah baik bagi memastikan inklusiviti tercapai dengan gabungan aspirasi negara dan keperluan semua golongan masyarakat. Surat Arahan Ketua Pengarah MAMPU Bilangan 2 Tahun 2022 Panduan Pengurusan Perubahan Sektor Awam (CMsa) menerangkan pengurusan perubahan adalah “Satu pendekatan berstruktur yang digunakan untuk membawa sekumpulan individu melalui suatu tempoh peralihan perubahan sehinggalah mereka berjaya menerima, menggunakan dengan cekap dan melestarikan perubahan tersebut supaya manfaat perubahan dapat direalisasikan’’. Beberapa kajian terdahulu menunjukkan keperluan tentang pentingnya kepelbagaian dan inklusiviti dan meningkatkan kesedaran serta pengetahuan pegawai awam. Sebagai contoh, Caple (1995), Arifin (2006), Suresh dan Dyaram (2020) dan Tuan et al. (2021) menyatakan keperluan untuk perubahan organisasi yang proaktif, membetulkan pandangan stereotaip dan menggalakkan amalan inklusif OKU dalam pengurusan sumber manusia secara berterusan serta bagaimana organisasi harus menjadikan OKU sebagai keutamaan dalam strategi pengurusan perubahan sektor awam. Manakala, Mahlangu (2009) sebelum ini telah mengenal pasti pelbagai faktor yang menyumbang kepada kemasukan pekerja kurang upaya dalam tenaga kerja sektor awam di daerah Gauteng, Afrika Selatan, termasuk amalan pengurusan perubahan. Secara ringkas, kesemua penyelidik tersebut menekankan kepentingan mengurus dan menangani perubahan dalam organisasi tempat kerja dengan kehadiran pekerja kurang upaya dalam sektor awam. Justeru, artikel ini menekankan kepentingan untuk mengintegrasikan amalan inklusif OKU ke dalam strategi pengurusan perubahan organisasi dalam sektor awam. TINJAUAN LITERATUR
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy