51 VARIA RANAH Model Pengurusan Perubahan Inklusif Bagi Meningkatkan Kesejahteraan di Tempat Kerja Bagi Penjawat Awam Orang Kurang Upaya dalam Konteks Perkhidmatan Awam yang MADANI PENGENALAN Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD - Convention on the Rights of Persons with Disabilities) telah diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di ibu pejabat New York pada 13 Disember 2006. Konvensyen ini telah dibuka untuk ditandatangan dan diratifikasi sejak 30 Mac 2007. Tujuan CRPD adalah untuk memupuk, melindungi dan memastikan Orang Kurang Upaya (OKU) menikmati hak secara sama rata dan bebas. Malaysia adalah salah satu negara yang telah menandatangani konvensyen ini pada tahun 2008 dan meratifikasi pada tahun 2010. Apabila Malaysia telah meratifikasi konvensyen ini, ia bermaksud bahawa Malaysia telah bersetuju untuk berusaha dengan sedaya upaya bagi menguatkuasakan artikel yang tersirat dalam konvensyen ini. Serentak dengan itu, Malaysia telah menguatkuasakan Akta Orang Kurang Upaya [Akta 685] pada tahun 2008 yang antara isi kandungannya adalah mewujudkan Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) di bawah Seksyen 3(1); serta dan Penggalakan dan Pembangunan Kualiti Hidup dan Kesejahteraan Orang Kurang Upaya melalui Pengaksesan kepada Pekerjaan (Per.29). MKBOKU yang diketuai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kemudiannya telah membangunkan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 yang bertanggungjawab memastikan pembangunan dan penggalakan penyertaan penuh OKU dalam masyarakat. MKBOKU dianggotai enam jawatankuasa iaitu jawatankuasa Pendidikan, Quality Life Care, Pengangkutan, Rekabentuk Sejagat dan Alam Bina, Pendaftaran dan Pekerjaan. Dalam pada itu, salah satu usaha yang telah dimulakan sejak 1988 adalah dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Dasar ini telah dikemaskini pada tahun 2008, 2010 dan 2022. Seiring dengan objektif Jawatankuasa Pekerjaan, JPA selaku ahli jawatankuasa menjadikan dasar ini sebagai salah satu inisiatif bagi memastikan OKU menikmati hak, peluang dan akses secara saksama untuk mendapat peluang pekerjaan dalam sektor awam di Malaysia. Namun, pada masa kini, matlamat sasaran 1% OKU dalam perkhidmatan awam masih belum tercapai sepenuhnya. Kajian yang telah dijalankan oleh pasukan penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan KPWKM mendapati bahawa antara faktor yang mempengaruhi situasi atau isu ini adalah kerana dasar ini kurang dilaksanakan oleh agensi, kelemahan koordinasi antara agensi berkaitan program OKU, kurang sokongan majikan kerana tidak tahu mengendalikan pekerja OKU, kurang sokongan rakan sekerja dan masyarakat serta pegawai kerajaan kurang pengetahuan berkaitan OKU (KPWKM, 2019). Oleh itu, artikel ini akan membincang dan mencadangkan pendekatan pengurusan perubahan bagi membantu perkhidmatan awam mengendalikan pekerja OKU demi menjamin kesejahteraan OKU yang berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam, selari dengan hasrat membangunkan Malaysia MADANI. PERNYATAAN MASALAH Kadar pengisian OKU dalam sektor awam semenjak 1988 sehingga 31 Mac 2023 hanya mencapai sekitar purata 0.30% setahun (JPA, 2022). Antara faktor adalah kelemahan majikan mengendalikan OKU di tempat kerja, kurang pengetahuan dan sokongan rakan sekerja. Selaras dengan konsep Malaysia MADANI, kepelbagaian dan inklusiviti adalah penting dalam memastikan keadilan dan kesejahteraan dalam masyarakat. Oleh itu, pengkaji berpandangan terdapat keperluan bagi semua agensi untuk menggunakan pendekatan pengurusan perubahan dalam hal ini melalui satu model yang inklusif perlu dibangunkan sebagai panduan untuk majikan meningkatkan kesejahteraan OKU di tempat kerja.
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy