38 Penerapan Konsep MADANI dalam Perkhidmatan Awam Walau bagaimanapun, aspek inovasi dan kreativiti ini perlu disulami dengan elemen Ihsan bagi memastikan penawaran inisiatif/penyelesaian baharu serta terkini ini turut mengambil kira keperluan golongan yang terpinggir atau kurang bernasib baik serta bersifat inklusif; v) Kemahiran Analitik Data (Data Analytic Skill) Dalam konteks Keyakinan serta Kesejahteraan menerusi kerangka dasar MADANI, seseorang pemimpin akan lebih diyakini sekiranya beliau berupaya membuat keputusan berdasarkan pengetahuan serta kemahiran yang bersesuaian yang akhirnya berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat secara amnya. Justeru, terdapat keperluan yang signifikan bagi setiap pemimpin untuk memiliki kefahaman yang jelas dan mantap berkenaan senario semasa yang berlaku di sekelilingnya dengan mengaplikasikan kemahiran analitik data yang dimiliki. Ini bagi membolehkan pemimpin berupaya menghasilkan keputusan/ penyelesaian pragmatik serta menguntungkan rakyat walaupun dalam keadaan ketidakpastian serta persekitaran semasa yang tidak menentu; dan vi) Ketahanan (Resilience) Pemimpin yang memiliki daya ketahanan dengan mengekalkan ketenangan dan kebolehsesuaian dalam menghadapi rintangan dan kesukaran akan lebih mampu menangani cabaran persekitaran BANI terutama dalam konteks Brittle dan Anxious. Ciri Ketahanan ini perlu ada pada setiap pemimpin sektor awam dan penting dalam memastikan aspek kepercayaan rakyat serta pemegang taruh terhadap pemimpin sektor awam tidak terhakis sekaligus bertepatan dengan visi Keyakinan yang dizahirkan menerusi kerangka dasar MADANI. F. Dimensi Kecerdasan Kepimpinan Sektor Awam Bagi memastikan ciri/ kriteria yang dinyatakan di atas dapat diterapkan di segenap peringkat kepimpinan sektor awam di Malaysia, empat (4) dimensi kecerdasan berikut iaitu Kecerdasan Inspirasi (Inspirational Intelligence), Kecerdasan Kontekstual (Contextual Intelligence), Kecerdasan Emosi (Emotional Quotient) dan Kecerdasan Teknologi (Technological Quotient) perlu dibentuk, diperkasakan serta diterapkan dalam program pembangunan serta pengurusan kepimpinan sektor awam. Keterangan mengenai empat (4) keupayaan kecerdasan yang perlu dibangun serta diperkasakan dalam kalangan kepimpinan sektor awam adalah seperti berikut: i) Kecerdasan Inspirasi (Inspirational Intelligence) Seseorang pemimpin yang memiliki keupayaan kecerdasan ini berupaya untuk mempengaruhi warga organisasi yang dipimpin dalam memahami hala tuju yang ingin dicapai dan pada masa yang sama menginspirasikan pasukannya dalam mengaplikasi pengetahuan atau kelebihan masing-masing dalam menyokong pencapaian visi/ hala tuju yang telah ditetapkan (Garton, 2017). Keupayaan ini penting dalam asas pembangunan serta pembentukan ciri/ kriteria kepimpinan melibatkan Minda Strategik serta Kerjasama dan Komunikasi pada kalangan pemimpin sektor awam; ii) Kecerdasan Kontekstual (Contextual Intelligence) Kecerdasan ini berkait secara langsung dengan keupayaan pemimpin dalam melihat sesuatu isu/ perkara secara makro merentasi pelbagai bidang serta menawarkan penyelesaian secara tuntas yang signifikan kepada pencapaian matlamat organisasi berdasarkan pengetahuan / kepakaran khusus yang dimiliki oleh setiap ahli dalam pasukannya (Walsh, 2019).
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy