37 VARIA RANAH 2023 Pemerkasaan Kepimpinan Sektor Awam dalam Mendepani Cabaran Persekitaran “BANI” E. Ciri/ Kriteria Kepimpinan Sektor Awam Untuk memastikan pendekatan berdasarkan senario BANI dinyatakan di atas dapat direalisasikan, aspek pemerkasaan kepimpinan sektor awam perlu diberi perhatian serius. Ia perlu bagi menjamin perkhidmatan awam Malaysia diterajui oleh barisan pemimpin yang mempunyai hala tuju strategik yang jelas serta berupaya mengemudi dan menyesuaikan keperluan penyampaian perkhidmatan agensi kerajaan ke arah tahap kualiti serta nilai yang diinginkan oleh rakyat serta pemegang taruh. Justeru, terdapat enam (6) ciri/ kriteria yang dikenal pasti perlu dimiliki oleh kepimpinan sektor awam dalam memenuhi aspirasi di atas iaitu Kebolehsesuaian, Pemikiran/ Minda Strategik, Kerjasama dan Komunikasi, Inovasi dan Kreativiti, Kemahiran Analitik Data serta Ketahanan. Keterangan berkaitan ciri/ kriteria yang diperlukan adalah seperti berikut: i) Kebolehsesuaian (Adaptability) Pemimpin sektor awam perlu berupaya menyesuaikan diri berdasarkan keperluan peredaran masa, bersedia mengambil risiko serta bersifat terbuka dalam mencuba konsep serta pendekatan baharu terutama yang berkaitan secara langsung keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat. Ini bertepatan dengan salah satu visi kerangka dasar MADANI iaitu Kemampanan yang menitikberatkan aspek kesejahteraan serta keseimbangan dalam mendepani sebarang perubahan serta pada masa yang sama memastikan ia tidak memudaratkan pihak yang berkepentingan atau penerima faedah termasuk persekitaran ekosistem semasa serta akan datang; ii) Minda Strategik (Strategic Thinking) Pemimpin sektor awam yang memiliki kebolehan dalam membuat unjuran trend dan cabaran masa depan disifatkan mempunyai keupayaan untuk memimpin organisasi dalam mengharungi senario ketidaktentuan yang wujud dalam persekitaran BANI. Aspek ini selari dengan visi Keyakinan dalam konteks kerangka dasar MADANI iaitu mengambil tanggungjawab membina keyakinan rakyat di samping menghormati kepercayaan yang diberikan dengan memastikan tahap keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat serta pemegang taruh berada pada tahap yang terbaik; iii) Kerjasama dan Komunikasi (Collaboration and Communication) Pemimpin yang berkebolehan dalam menjalin kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan dan berkomunikasi secara jelas dalam menyampaikan matlamat/ objektif yang disasarkan disifatkan lebih berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam menggerakkan kesepakatan dan pengoptimuman perkongsian sumber demi memastikan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dalam persekitaran BANI. Kriteria ini selari dengan visi Hormat serta Keyakinan menerusi kerangka dasar MADANI di mana aspek keterangkuman pandangan pelbagai pihak dihormati serta disepadukan sebagai suatu sinergi berimpak besar seiring dengan aspirasi membina keyakinan serta menghormati kepercayaan yang diberikan oleh rakyat serta pemegang taruh; iv) Inovasi dan Kreativiti (Innovation and Creativity) Pemimpin yang cenderung kepada pengaplikasian elemen inovasi dan kreativiti dalam gaya kepimpinan organisasi menerusi aspek pembangunan idea baharu dan penyelesaian kreatif akan lebih berkemampuan untuk mengharungi persekitaran BANI yang kadang kala mencabar logik akal serta kompleks. Pendekatan ini turut selari dengan visi Daya Cipta yang dizahirkan menerusi kerangka dasar MADANI.
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy