34 Penerapan Konsep MADANI dalam Perkhidmatan Awam (i) kewujudan nilai organisasi yang kukuh yang dicerminkan dalam misi, visi, strategi dan amalan pengurusan; (ii) pembangunan dan komunikasi yang berkesan; (iii) pembangunan strategi yang sejajar dengan misi dan visi serta mampu mencipta daya saing; dan (iv) penubuhan struktur organisasi dan mekanisme operasi yang memudahkan pelaksanaan misi, visi dan strategi. Oleh yang demikian, kecemerlangan kepimpinan tertumpu kepada nilai teras organisasi yang dicerminkan dalam penetapan misi, visi dan strategi sesebuah organisasi. Younis et al. (1996) menegaskan bahawa kualiti perkhidmatan awam adalah berdasarkan kepada nilai organisasi. Justeru, pemimpin mempunyai tanggungjawab utama merangka dan mewujudkan nilai-nilai organisasi. Selain itu, Dewhurst et al. (1999) mengesahkan, pemimpin berperanan untuk menetapkan hala tuju organisasi bagi mendepani cabaran masa hadapan. B. Kesan BANI kepada kepimpinan sektor awam/ organisasi Menurut Drucker (2017), pemimpin perlu mempersiapkan diri dalam segala aspek apabila berhadapan dengan dunia yang sering berubah-ubah agar mampu menghadapi apa jua keadaan. Cabaran persekitaran dunia sekarang yang volatile, uncertain, complex, ambiguous (VUCA) memerlukan pemimpin sentiasa bersiap sedia, peka terhadap perubahan dan dinamik dalam pengurusan dan kepimpinan. VUCA adalah akronim yang diguna pakai oleh U.S Army War College setelah Perang Dingin berakhir bagi menggambarkan situasi dunia yang mencabar pada ketika itu (Stottinger, 2022). Walau bagaimanapun, sekitar tahun 2020, konsep BANI diperkenalkan bagi menggambarkan senario semasa yang berlaku di seluruh dunia ketika ini. Kedua-dua konsep iaitu VUCA dan BANI mencerminkan cabaran menghadapi persekitaran yang sentiasa berubah tetapi terdapat perbezaan di antara kedua-dua konsep tersebut. Menurut Stottinger (2022), VUCA telah lama digunakan untuk menggambarkan ketidaktentuan yang telah menjadi kebiasaan, namun begitu, konsep BANI diperkenalkan untuk menggambarkan persekitaran huru-hara yang lebih besar daripada VUCA. Gaya kepimpinan pada masa sekarang dilihat tidak lagi relevan terutama semasa krisis yang berlaku dalam negara sebagai contoh krisis COVID-19, ketidakstabilan politik, kegawatan ekonomi, perubahan cuaca dan pencemaran alam sekitar. Antara ciri-ciri kepimpinan menurut Stottinger (2022) yang boleh membawa perubahan kepada organisasi dalam berhadapan dengan situasi BANI adalah menggalakkan pembelajaran berterusan, menitikberatkan pengurusan risiko, memupuk kepercayaan dalam pasukan dan bersifat terbuka dalam mengakui kelemahan. Pemimpin sektor awam dituntut untuk lebih berani dan bersifat terbuka terhadap perkara baharu bagi menangani kesukaran dunia BANI. Stottinger (2022) menekankan bahawa kerjasama (bersatu padu) antara ahli pasukan juga amat penting bagi proses penjanaan dan pertukaran idea untuk bertahan dalam persekitaran BANI. Dalam menerajui organisasi untuk mencapai matlamat dan objektif dalam persekitaran BANI menuntut pemimpin untuk mempunyai dimensi kecerdasan yang pelbagai. Dimensi yang pertama adalah Kecerdasan Inspirasi (Inspirational Intelligence). Keupayaan untuk mempengaruhi orang lain atau memberi inspirasi kepada subordinat adalah kemahiran penting yang perlu dimiliki oleh seseorang pemimpin. Menurut Jamilah (2022), antara beberapa perkara yang perlu ditekankan untuk mendapat pengaruh daripada subordinat atau mengekalkan pengaruh sedia termasuklah mampu menetapkan matlamat atau jangkaan yang jelas, mengamalkan komunikasi pelbagai hala, memantau dan menambah baik serta meraikan perbezaan.
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy