33 VARIA RANAH 2023 Pemerkasaan Kepimpinan Sektor Awam dalam Mendepani Cabaran Persekitaran “BANI” TINJAUAN LITERATUR Tinjaun literatur dalam pemantapan kepimpinan sektor awam dalam mendepani cabaran dunia/ persekitaran BANI terbahagi kepada dua iaitu Faktor Kejayaan Kritikal (Critical Success Factor) yang mempengaruhi kepimpinan untuk mencapai wawasan, matlamat dan objektif sesebuah organisasi serta kesan kepimpinan dalam persekitaran BANI kepada sektor awam/ organisasi. A. Kepimpinan – Faktor Kejayaan Kritikal (CSF) Setiap organisasi dalam sektor awam mahupun swasta mempunyai pemimpin untuk mengetuai segala tugas dalam organisasi tersebut. Dalam pelbagai bentuk, pemimpin dan kepimpinan tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Batista-Taran et al. (2013) mendefinasikan kepimpinan merupakan proses seseorang individu, boleh mempengaruhi sekumpulan individu bagi mencapai objektif yang sama. Menurut Dato’ Mohtar (2005), pemimpin diiktiraf sebagai faktor yang menerajui organisasi bagi mencapai matlamat, objektif dan wawasan yang telah ditetapkan di sesebuah organisasi. Fullan (1998) menjelaskan peranan pemimpin untuk melakukan perubahan boleh dilaksanakan dengan menyelesaikan masalah persekitaran yang kompleks, mengamalkan komunikasi berkesan, mempunyai fleksibiliti, mengaplikasikan teknologi terkini dan menggabungkan konsep lama dan baharu. Tambahan itu, Hall dan Hord (2014) mencadangkan bahawa, dalam melaksanakan sesuatu perubahan, pemimpin haruslah menjadi agen perubahan termasuklah mempunyai sifat keprihatinan kepada orang lain, menitikberatkan kecekapan organisasi dan melaksanakan strategi perubahan. Dunia sekarang terutamanya dalam era Revolusi Perindustrian 4.0, sedang berubah secara dinamik dan dijangka akan mengalami lebih banyak perubahan dan pembaharuan pada masa akan datang. Antara cabaran perubahan persekitaran adalah kepantasan dan perubahan teknologi pada masa kini. Saban hari, semakin banyak perubahan globalisasi dan teknologi yang berlaku dan ia menyebabkan pihak pengurusan perlu memperkenalkan strategi, polisi, dasar dan budaya kerja yang baharu. Untuk menghadapi perubahan persekitaran tersebut, pemimpin harus cakna dan peka akan perubahan semasa yang berlaku. Tidak dinafikan teknologi mempercepat sesuatu urusan dan tugasan namun ianya memerlukan pekerja yang lebih mahir dan berpengetahuan untuk mengaplikasikan teknologi tersebut. Justeru, pemimpin perlu bersiap siaga bagi mendepani cabaran kepemimpinan dalam dunia pekerjaan selari perkembangan teknologi digital. Era pandemik juga telah menguji kepimpinan organisasi pelbagai sektor di seluruh dunia. COVID-19 mempunyai kesan yang mendalam dan sangat mencabar. Oleh yang demikian, menurut Zaleha (2020), transformasi dan corak kepimpinan serta pengurusan strategik dalam organisasi diperlukan oleh pemimpin untuk menghadapi pandemik. Selain itu, Dimovski et al. (2013) berpendapat bahawa penerapan ciri-ciri keusahawanan termasuklah kemahiran berkomunikasi, tekad yang kuat, keterbukaan terhadap idea baharu, mempunyai visi, kebolehpercayaan dan berfikiran positif dapat membantu seseorang pemimpin menangani masalah birokrasi dan ketidakcekapan dalam organisasi. Kajian literatur yang meluas tentang kepimpinan dalam konteks organisasi secara amnya dan khususnya dalam konteks organisasi yang komited kepada kecemerlangan menurut Kanji dan Sa’ (2001) membawa kepada pengenalpastian kepada faktor kejayaan kritikal untuk kecemerlangan kepimpinan seperti berikut:
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy