31 VARIA RANAH 2023 Pemerkasaan Kepimpinan Sektor Awam dalam Mendepani Cabaran Persekitaran “BANI” PENGENALAN Istilah kepimpinan ditakrifkan sebagai keupayaan individu atau sekumpulan orang untuk mempengaruhi dan membimbing pengikut atau ahli sesebuah organisasi, masyarakat atau pasukan. Menurut Kamus Dewan (2010), kepimpinan merupakan keupayaan seseorang untuk memimpin. Kepimpinan merupakan suatu keperluan dalam membina kekuatan organisasi terutama dalam memimpin organisasi ke arah mencapai matlamat yang ingin dicapai bersama. Kepimpinan pada kebiasaannya merupakan sifat yang terikat dengan gelaran, kekananan atau kedudukan seseorang dalam sesuatu hierarki. Sifat ini juga penting sebagai usaha membudayakan etika di dalam struktur organisasi. Terdapat pelbagai dimensi dan pengertian berbeza dalam memahami maksud kepimpinan, bergantung kepada kesesuaian dan keperluannya. Antara dimensi tersebut ialah keupayaan memberi sokongan, mengambil risiko, aktif, sentiasa terkehadapan, membina kebersamaan, berpengaruh, kreatif, berinovasi, berorientasikan matlamat dan berorientasikan kemanusiaan (Rozita, Rahimi & Bahiyah, 2018). Meskipun terdapat pelbagai dimensi dan perbezaan takrifan kepimpinan, umumnya konteks dan sifat kepimpinan adalah sama dalam persekitaran kerja sama ada dalam sektor awam mahupun swasta dan korporat. Memperkasa kepimpinan dalam sektor awam boleh dijadikan satu budaya yang perlu dipupuk dalam kalangan para pentadbir dan ketua-ketua jabatan sektor awam di Malaysia dengan berteraskan enam nilai utama Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan. Uniknya, konsep ini menterjemahkan hasrat kepimpinan tertinggi negara dalam mentadbir urus negara ke arah kebaikan, adil dan memperbaiki kelemahan sistem tadbir urus negara, terutamanya melalui sektor kerajaan agar pemimpin cakna dan serius dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Kepimpinan sektor awam di Malaysia pada masa kini melalui banyak liku dan cabaran yang perlu ditangani dalam mendepani persekitaran baharu dan sukar dijangka. Pemimpin sektor awam merupakan agen perubahan yang berperanan untuk mendorong dan menggerakkan perubahan pada organisasi yang diterajuinya. Justeru, perubahan sikap dan gaya kepimpinan serta pemikiran seseorang pemimpin itu bukan sahaja harus seiring dengan keperluan dan perubahan semasa, malah turut meliputi keupayaan mencipta idea-idea baharu serta kemahiran mahupun kecekapan dalam mentadbir sesebuah organisasi ke arah ekologi persekitaran kerja yang lebih sihat, kondusif dan berdaya saing. Seorang pemimpin yang baik juga harus sentiasa menambah baik tahap komunikasi serta berupaya membuat keputusan secara kolaboratif dalam konsep kerja berpasukan demi membina dan menjayakan matlamat yang dikongsi bersama dalam sesebuah agensi kerajaan. Penekanan terhadap konsep “BANI” dalam memperkasakan kepimpinan sektor awam merupakan antara anjakan paradigma terbaik untuk menepis krisis dan cabaran dalam melahirkan pemimpin sektor awam yang berkualiti ke arah mendepani cabaran global. Model BANI menggambarkan dunia baharu di mana nilai dan peraturan lama tidak lagi terpakai. “BANI” yang merupakan akronim Brittle (Rapuh), Anxious (Cemas), Nonlinear (Tidak Linear) dan Incomprehensible (Sukar Difahami) telah diperkenalkan oleh Jamais Cascio iaitu seorang antropologi Amerika untuk menggambarkan kesukaran dalam memahami dan mengawal dunia di sekeliling kita. Ia merupakan antara konsep baharu yang menuntut seseorang pemimpin melakukan transformasi dalam corak kepimpinan bagi melahirkan pemimpin yang kompeten dan berkaliber serta berupaya menembusi tembok persekitaran cabaran dunia.
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy