Varia Ranah - Penerapan Konsep Malaysia MADANI Dalam Perkhidmatan Awam 2023

138 Penerapan Konsep MADANI dalam Perkhidmatan Awam KESIMPULAN/RANTAIAN KE HADAPAN Hasil kajian ini menunjukkan kepentingan antara muka (user interface) dan kemudahan menggunakan fungsian aplikasi dalam membangunkan sesebuah aplikasi. Ini dapat dilihat bahawa kekerapan komen tiga teratas adalah berkaitan dengan antara muka dan kemudahan menggunakan fungsian aplikasi. Komen-komen ini mungkin manifestasi pelaksanaan sistem penyampaian perkhidmatan e-Kerajaan yang kurang berkesan, malah mungkin berpotensi mengasingkan mereka yang celik digital dan mereka yang memerlukan kemahiran tambahan. Kajian oleh Seljan, Miloloza dan Pejlic Bach (2020) menunjukkan bahawa jurang digital adalah salah satu cabaran utama yang menghalang rakyat daripada menggunakan perkhidmatan e-kerajaan. Menurut kajian mereka, kerajaan bukan sahaja perlu melaksanakan proses rekayasa dan mengubah cara kerja dan komunikasi, tetapi juga melaksanakan program latihan ICT untuk mengurangkan jurang digital dan mengeksploitasi potensi penuh e-perkhidmatan. Penggunaan teori Technological Acceptance Model (TAM) juga boleh dipertimbangkan untuk kajian susulan berkaitan aplikasi e-Kerajaan. Di bawah TAM, sikap pengguna terhadap penerimaan teknologi dan penggunaan seterusnya adalah terdiri daripada komponen kebolehpercayaan (kebergunaan) dan persepsi bahawa kebolehpercayaan itu boleh dicapai dengan tingkah laku yang disasarkan (kemudahan penggunaan) (Davis, Bagozzi, & Warshaw, 1989). Hasil kajian oleh Zubir & Latip (2022) mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara beberapa faktor (persepsi kebergunaan, persepsi kemudahan penggunaan dan persepsi keselamatan) dan faktor niat tingkah laku terhadap perkhidmatan e-Kerajaan. Hasil kajian mereka juga mendapati faktor paling kuat yang mempengaruhi tingkah laku pengunaan perkhidmatan e-Kerajaan adalah kemudahan penggunaan perkhidmatan tersebut kepada pengguna. Hasil kajian juga mendapati 41.89% peratus aplikasi yang ada dalam profil Government of Malaysia di Google App Store tidak mempunyai sebarang skor. Ini adalah selari dengan pemerhatian Kumarasamy (2017) di mana 41.5% aplikasi yang disenaraikan dalam Google Play Store tidak mempunyai sebarang skor. Kumarasamy (2017) berpandangan bahawa ini adalah kerana pengguna akhir tidak begitu memahami aplikasi tersebut dan tidak pernah peduli untuk mencuba aplikasi ini, kekurangan promosi oleh pencipta aplikasi, terlalu banyak aplikasi yang mempunyai fungsi yang sama dan aplikasi yang tidak stabil. Sekiranya aplikasi perkhidmatan atas talian kerajaan tidak ditambah baik atau memenuhi keperluan pengguna, terdapat kemungkinan hasrat salah satu teras strategik prinsip Malaysia MADANI iaitu Menegakkan Keadilan Sosial, yakni merapatkan jurang pembangunan dan perkhidmatan antara bandar & luar bandar, tidak dapat dicapai dengan baik. Perkhidmatan e-Kerajaan secara amnya perlulah membantu rakyat sebenar-benarnya dan memastikan imej integriti kerajaan dapat terjamin dan Konsep MADANI dalam Perkhidmatan Awam benar-benar dapat diterapkan. Kesimpulannya, kajian mendalam dan penjajaran semula aplikasi kerajaan selaras dengan konsep Malaysia MADANI perlu dibuat agar rakyat benar-benar dapat manfaat daripada perkhidmatan e-Kerajaan Malaysia.

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy