Varia Ranah - Penerapan Konsep Malaysia MADANI Dalam Perkhidmatan Awam 2023

134 Penerapan Konsep MADANI dalam Perkhidmatan Awam Dalam hal ini, pemilihan aplikasi yang mengandungi komen dan skor yang akan dianalisis secara analisis kandungan akan dibuat berdasarkan persampelan berstrata bagi memastikan aplikasi tersebut melambangkan jumlah kementerian, agensi dan badan berkanun lain di Malaysia. Aplikasi yang mempunyai skor tetapi tidak mempunyai komen akan disingkirkan dalam proses ini. Manakala analisis kandungan akan dilaksanakan bagi meneliti komen yang telah diberikan untuk mewujudkan kategori kod, yakni jenis kategori yang akan muncul hasil penelitian komen-komen yang diberikan kepada sesuatu aplikasi kerajaan yang dipilih untuk dianalisis. Hsieh dan Shannon (2005) menyatakan dalam analisis kandungan konvensional, kategori pengekodan diperoleh terus daripada data teks. Bagi tujuan kajian ini, semua aplikasi yang terdapat di dalam Google Play Store atau Apple App Store di bawah profil Government of Malaysia akan disemak samada mengandungi skor dan komen atau tidak. Aplikasi yang tidak mempunyai skor dan komen dalam Google Play Store atau Apple App Store di bawah profil Government of Malaysia akan disingkirkan dari kajian ini. Kemudian, persampelan berstrata akan dibuat daripada aplikasi yang tidak disingkirkan untuk dibuat penelitian awal mengenai komen yang ditinggalkan. Penelitian awal seterusnya akan dibuat daripada komen yang ditinggalkan dalam semua aplikasi kerajaan tersebut. Kemudian, kesemua penelitian awal akan dikategorikan mengikut kategori kod, sama ada wujudnya komen positif, jenis komen negatif atau komen neutral. DAPATAN KAJIAN/PERBINCANGAN Daripada 148 aplikasi yang disenaraikan dalam Google Play Store di bawah profil Government of Malaysia, sebanyak 62 Aplikasi tidak mempunyai sebarang skor atau komen, atau 41.89% aplikasi yang disenaraikan. Ini bermakna pengguna yang memuat turun aplikasi ini tidak meninggalkan skor berkaitan aplikasi ini sesudah memuat turun atau menggunakan aplikasi ini. Antara kementerian / agensi / badan berkait dengan kerajaan yang mempunyai aplikasi seperti ini ialah Kementerian Pengangkutan, Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Aplikasi yang disenaraikan melalui akaun rasmi Government of Malaysia dalam Apple App Store tidak dapat dikaji kerana tiada maklumat skor dan komen dipaparkan melalui aplikasi App Store. Butiran aplikasi yang dianalisis mengikut kementerian, jabatan atau agensi adalah di Jadual 1. Sebanyak 86 aplikasi mempunyai skor yang diberikan oleh pengguna. Di dalam Google Play Store, seperti diterangkan dalam portal Google Play Store (https://support. google.com/googleplay/answer/4346705?hl=en&co=GENIE.Platform%3DAndroid) pengguna boleh meninggalkan komen dan memberi skor kepada satu-satu aplikasi yang disenaraikan dalam Google Play Store. Pengguna boleh memberi 1 sehingga 5 bintang untuk satu-satu aplikasi di mana 1 bintang bermakna aplikasi tersebut mendapat skor rendah, manakala 5 bintang bermakna aplikasi tersebut mendapat markah tertinggi (Kumarasamy, 2017). Purata skor aplikasi dalam Government of Malaysia adalah 3.6, dengan skor terendah 1.0 dan yang tertinggi 5.0. Sebanyak 6 aplikasi mempunyai skor 1 - 1.9, 16 aplikasi mempunyai skor 2-2.9, 27 aplikasi mempunyai skor 3-3.9, 32 aplikasi mempunyai skor 4-4.9 dan 5 aplikasi mempunyai markah penuh 5. Dalam hal ini, 5 aplikasi yang mempunyai skor penuh 5 tidak dianalisa kerana ketiadaan komen substantif yang dapat digunakan untuk analisa kandungan. Satu-satunya aplikasi 5 bintang yang dianalisa komennya adalah aplikasi eParlimen Kementerian Kerja Raya (KKR) yang rata-ratanya semua komen mengatakan bahawa aplikasi ini stabil dan mudah digunakan. Tambahan lagi, terdapat kesangsian samada pengguna yang memberi skor kepada aplikasi tersebut merupakan pengguna sebenar atau pembangun sistem yang ingin menaikkan skor aplikasi tersebut.

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy