Varia Ranah - Penerapan Konsep Malaysia MADANI Dalam Perkhidmatan Awam 2023

131 VARIA RANAH 2023 Analisis Kandungan Komen Aplikasi e-Kerajaan dalam Google Play Store dan Apple App Store PENGENALAN Konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Januari 2023, ialah konsep “Negara yang memiliki Kemajuan Yang Seimbang Dari Segi Pemikiran, Kerohanian Dan Kebendaan Berteraskan Nilai-Nilai Murni”. Matlamatnya adalah untuk membangun Malaysia menjadi sebuah negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati serta bersikap ihsan berdasarkan keyakinan antara satu sama lain serta kepercayaan antara Kerajaan dan rakyat atas dasar ketelusan dan kerjasama. Antara teras strategik yang digariskan dalam prinsip Malaysia MADANI adalah Menegakkan Keadilan Sosial, yakni merapatkan jurang pembangunan dan perkhidmatan antara bandar & luar bandar. Dalam hal ini, perkhidmatan e-Kerajaan telah diperkenalkan bagi membantu rakyat dan mengurangkan keperluan rakyat untuk turun ke pejabat kerajaan untuk mendapat perkhidmatan kerajaan, selain meningkatkan integriti kerajaan. Contohnya, kajian Li, Wei dan Ma (2021) mendapati perkhidmatan e-kerajaan mempunyai kesan menyekat rasuah, terutamanya di daerah-daerah yang mempunyai tahap e-Kerajaan yang rendah. Antara akses pertama rakyat kepada perkhidmatan e-kerajaan dalam talian adalah melalui laman web kerajaan. Kepentingan reka bentuk laman web dalam memudahkan penyampaian perkhidmatan dapat dilihat melalui laman web GOV.UK. Syarikat pereka laman web dan integrasi sistem Symsoft memberi contoh reka bentuk laman web kerajaan United Kingdom GOV.UK yang telah mereformasi laman web mereka. Dengan melaksanakan amalan terbaik, mengambil pendekatan transformasi digital berteraskan pemikiran seperti peniaga, laman web GOV.UK telah berjaya menjimatkan £61.5 juta ($85.9 juta) pada 2015. Kerajaan UK juga menumpukan perhatian pada memperkemas transaksi digital untuk membantu pengguna mencapai sebanyak mungkin transaksi digital dalam talian, bukannya melawat pejabat dan mengisi borang kertas. Syarikat Symsoft juga menggalakkan penyampai perkhidmatan melalui laman web untuk menyediakan akses kepada kandungan dan perkhidmatan pada pelbagai peranti dan teknologi bantuan. Ini boleh dilaksanakan melalui akses pantas kepada maklumat yang diperlukan pengguna, membuka kandungan kepada semua peringkat celik huruf, pendidikan dan kepakaran serta memudahkan pengguna menggunakan, menyelesaikan tugas, dan berkongsi maklumat melalui laman web tersebut. Kajian kebolehgunaan yang dijalankan oleh Jakob Nielsen pada 2009 menunjukkan bahawa arkitektur maklumat dan reka bentuk kandungan yang lemah memberi kesan negatif kepada pengguna dalam usaha menyelesaikan tugasan yang diberi di laman web. Ia juga boleh menyebabkan pengguna kecewa dengan laman web, menyebabkan mereka memilih untuk tidak menggunakan laman web tersebut. Konsep sama boleh digunapakai untuk aplikasi mudah alih e-Kerajaan. Kesimpulannya, penyampaian perkhidmatan e-Kerajaan mempunyai manfaat kepada rakyat, dan bertambah baik sekiranya laman web tersebut direka dengan baik. Di Malaysia, perkhidmatan e-Kerajaan diperkenalkan melalui Koridor Raya Multimedia pada tahun 1996 dan menjadi sebahagian daripada strategi untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat awam dengan lebih berkesan dan interaktif. Terdapat tujuh aplikasi bitara di bawah MSC iaitu e-Kerajaan, Tele-kesihatan, Kad Serba Guna, Sekolah Pintar, Kluster R&D, Pembangunan Technopreneurs dan e- Business (Huff, 2002).

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy