12 C. Sekuriti Pendapatan dan Insuran Menurut pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Badri Mohd Zahir (2022), majoriti ahli-ahli KWSP berhadapan dengan kemiskinan di usia tua kerana simpanan yang tidak mencukupi menjelang persaraan. Semasa sidang media Hari Pekerja 1 Mei 2023, YAB Perdana Menteri memaklumkan cadangan untuk menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini akan dibincangkan oleh kerajaan. Perdana Menteri kesepuluh memaklumkan, cadangan berkenaan sudah dikemukakan tetapi belum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri (MalaysiaGazette, Mei 2023). Golongan pekerja sering berhadapan dengan masalah ekonomi seperti pendapatan yang tidak mencukupi dan kadar inflasi yang meningkat akan merasa tekanan dari segi kewangan dan mental. Pastinya mereka tidak mampu untuk meningkatkan caruman ke KWSP sebagai persediaan bekalan hari tua. Kajian semula kadar gaji yang sesuai seiring dengan peningkatan kos sara hidup hendaklah dilaksanakan oleh kerajaan agar pekerja dapat meningkatkan caruman mereka di KWSP. Ini secara tidak langsung dapat menambah simpanan hari tua mereka dan dapat membantu mengekalkan kualiti hidup yang sejahtera. Presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC), Affendy Abdul Ghani berkata penggubalan dasar gaji progresif langkah terbaik buat rakyat dan pelan mencapainya tidak boleh dibuat sekadar “hangat-hangat tahi ayam” (Utusan Malaysia, 2023) Penguatkuasaan pelaksanaan gaji minimum perlu ditingkatkan oleh agensi-agensi yang berkaitan agar pekerja dapat pembelaan dan dapat menjamin kehidupan mereka kekal berkualiti dan sejahtera selepas bersara. Terdapat golongan yang bekerja sendri dan mereka ini ramai tidak membuat caruman ke KWSP. Golongan ini akan menghadapi kesukaran untuk mengekalkan kualiti hidup yang sejahtera semasa tua kelak. Kerajaan perlu mengambil langkah awal agar golongan ini tidak menjadi bebanan semasa mereka meniti hari-hari tua. Perluasan caruman KWSP kepada golongan yang bekerja sendiri dan dalam pekerjaan yang tidak formal malahan kepada golongan suri rumah yang tidak berkerja tapi mahu membuat caruman KWSP sukarela perlu diberikan perhatian yang serius dan dialu-alukan agar kerajaan tidak terbeban semasa negara memasuki era negara menua kelak. KWSP perlu lebih agresif untuk mewar-warkan kepentingan tabung pesaraan sukarela ini agar lebih ramai golongan yang bekerja sendiri dan mereka yang tiada pendapatan tetap membuat caruman sukarela untuk tujuan pesaraan dan pada masa yang sama menerima caruman tambahan dari pihak kerajaan. Pihak Berkuasa Tempatan boleh memainkan peranan untuk mewajibkan kepada peniaga-peniaga warung tepi jalan menyertai tabung persaraan dengan meletakkan sebagai salah satu syarat bagi memperoleh lesen perniagaan warung. Malaysia juga boleh mengambil contoh negara Jepun yang mengguna pakai Sistem Keselamatan Sosial (Social Security System) yang diwajibkan ke atas setiap rakyatnya dan di peruntukkan dalam perundangan (Nur Zulfah Md Abd Salam, 2022). Jepun turut mempraktikkan skim kewangan Long Term Care Insurance (LTCI) sejak tahun 2000 kepada semua warga emas apabila dilihat pelbagai masalah timbul daripada sistem kewangan sebelum ini. Sistem ini secara umumnya merupakan satu perkhidmatan sokongan sosial kepada warga emas untuk hidup berdikari berbanding perkhidmatan bantuan secara langsung. (Ahmad Syukri Abdul Hamid, 2018). Hal ini mungkin boleh dilaksanakan di Malaysia dengan menggunakan agensi sedia ada seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terutama untuk menginsurankan warga emas agar warga emas mendapat perlindungan yang wajar tanpa perlukan bantuan dari mana-mana pihak. Namun perkara ini memerlukan perbincangan yang lebih mendalam dari pelbagai pihak berkepentingan agar ianya dapat memberikan kesan positif kepada semua pihak yang terlibat. Penerapan Konsep MADANI dalam Perkhidmatan Awam
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy