11 B. Polisi Kerajaan Sistem kesihatan yang baik di negara ini merupakan salah satu faktor penyumbang kepada lanjutan jangka hayat individu di Malaysia. Walaubagaimanapun, dengan pertambahan usia ia juga membawa kepada risiko penambahan penyakit-penyakit kronik, gangguan psikologi dan penurunan kognitif (Tengku Aizan, 2015). Untuk mengurangkan kesan ini, maka penjagaan kesihatan dan amalan gaya hidup yang sihat perlu dimulakan sejak usia muda lagi. Oleh yang demikian, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga sedang menggubal Rang Undang-Undang Warga Emas yang melihat kepada long term care warga emas dengan menyediakan modul-modul berkenaan penjagaan warga emas. Rang Undang-Undang ini lebih fokus kepada perlindungan dan penjagaan terhadap kesihatan warga emas itu sendiri (Razman, 2022). Malaysia masih belum mempunyai pakar geriatik yang mencukupi untuk memberikan rawatan dan penjagaan yang mencukupi bagi warga tua. Menurut Timbalan Pengarah Kanan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datin Dr Nor Akma Yusof, pakar geriatrik di seluruh negara seramai 29 orang termasuk yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan (Berita Harian, 2017). Menurut beliau lagi, tugasan sebagai pakar geriatrik sangat unik kerana ia membabitkan integrasi pelbagai disiplin seperti pemulihan cara kerja dan anggota, farmasi dan kebajikan sosial. Ini mungkin menyebabkan kurang dikalangan pakar umum untuk dijadikan bidang spesifik. Perkara ini juga telah disentuh oleh Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang menyatakan bahawa negara kini berdepan dengan kekurangan pakar yang kritikal dalam bidang geriatrik iaitu rawatan dan perubatan kesihatan berkaitan golongan warga emas (Harakahdaily, 2023). Dalam akhbar yang sama, Timbalan Menteri Kesihatan Senator Lukmanisman Awang Sauni berkata, antara penyebab kekurangan itu kerana pakar dalam bidang berkenaan berkait dengan kebolehpasaran pakar geriatrik serta kekurangan kesedaran terhadap kepentingan rawatan kepada golongan terlibat di negara ini. Selanjutnya, beliau menyatakan bahawa setakat ini, Malaysia hanya mempunyai seramai 33 orang pakar dalam bidang geriatrik di hospital kementerian manakala 13 orang di hospital universiti dan 14 orang di hospital swasta (Harakahdaily, 2023). Memandangkan Malaysia akan bakal menjadi negara menua pada 2030 dan ini bermaksud peratusan rakyat Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas dijangka akan meningkat kepada 15 peratus, maka negara memerlukan satu pelan tindakan yang komprehensif sebagai persediaaan menjadi negara tua dan menghadapi masyarakat yang menua. Kementerian Kesihatan perlu menyediakan pakar geriatrik yang mencukupi untuk memastikan kesejahteraan warga tua di Malaysia. Negara memerlukan satu pakar geriatrik bagi setiap 10,000 populasi sedangkan ketika ini kadar pakar geriatrik di Malaysia hanya pada 0.18 pakar bagi 10,000 populasi (Harakahdaily, 2023). Kementerian Kesihatan perlu memberikan komitmen untuk menyediakan pelaburan bagi melahirkan pakar geriatrik yang mencukupi untuk menjaga kesihatan, kebajikan dan kesejahteraan warga emas. Usaha mempromosi bagi pengajian pakar geriatrik perlu digiatkan dan jika perlu tambahan biasiswa untuk latihan sub geriatrik hendaklah segera disediakan. Oleh kerana peratusan warga tua akan terus meningkat, maka Kerajaan hendaklah menyediakan lebih kemudahan serta peruntukan kewangan untuk penyakit tidak berjangkit (non-communicabole diseases) yang kerap ada pada warga tua seperti penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit berkaitan jantung dan lain-lain serta perlu memastikan warga tua mudah untuk mendapat akses kepada perkhidmatan rawatan yang berkaitan penyakit-penyakit ini. Permintaan ubat-ubatan untuk merawat penyakit-penyakit ini akan turut meningkat bagi meningkatkan kualiti hidup warga tua. VARIA RANAH 2023 Malaysia Negara Menua: Peranan Jentera Kerajaan
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy