Varia Ranah - Penerapan Konsep Malaysia MADANI Dalam Perkhidmatan Awam 2023

101 VARIA RANAH 2023 Kepentingan Kepimpinan Transformasi dan Komunikasi Strategik untuk Melaksanakan Konsep Malaysia MADANI dalam Perkhidmatan Awam Sarjana tempatan dan luar negara telah membincangkan pelbagai konsep kepimpinan dan komunikasi dalam menguruskan perubahan dalam sesebuah organisasi. Selanjutnya bahagian ini membincangkan definisi dan takrifan konsep MADANI, gaya kepimpinan transformasi, komunikasi strategik dan perkhidmatan awam dalam konteks kajian ini. A. Konsep MADANI Malaysia MADANI ditakrifkan sebagai sintesis gaya Malaysia yang menggabungkan amalan sedia ada dengan kaedah baharu yang direka untuk menangani isu-isu serta cabaran masa kini. Selain itu, konsep ini berkaitan kesediaan menerima perubahan, dengan mengambilkira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat melalui reformasi substanstif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur. Visi yang digariskan untuk pelaksanaan Malaysia MADANI ialah untuk mencorak masa hadapan negara dengan segala potensi yang ada dengan mengambil kira segala bentuk perubahan yang mengubah dunia, dan bercita-cita mengemudi negara dalam zaman pasca normal yang serba rumit melalui laras bahasa, konsep dan budaya kearifan tempatan (Ibrahim, 2022). Manakala misi Malaysia MADANI adalah untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih makmur dan maju berteraskan enam (6) nilai MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan melalui kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat, dasar ketelusan dan kerjasama. Selain itu, empat (4) teras utama MADANI adalah membina semula ekonomi, menjamin kesejahteraan insan, reformasi institusi demokrasi dan mewujudkan pentadbiran beramanah perlu dizahirkan supaya memberi impak kepada rakyat. Fokus Malaysia MADANI adalah untuk memperjuang pembasmian kemiskinan, penstrukturan semula ekonomi dan memulih serta menjana ekonomi akan dapat dicapai. B. Gaya Kepimpinan Transformasi (Transformational Leadership) Ahmad dan Mohamed (2019) menerangkan bahawa seseorang pemimpin memerlukan kekuatan mental untuk mengubah amalan organisasinya sekiranya berlaku sebarang perubahan dan pengurusan. Manakala kepimpinan semasa proses perubahan diklasifikasikan sebagai gaya kepimpinan transformasi. Dengan melibatkan tingkah laku ini, penyelia segera mempengaruhi pekerja untuk menyokong perubahan. Penjelasan mengapa perubahan diperlukan oleh golongan pekerja bawahan adalah perlu untuk membina pemahaman tentang pelaksanaan perubahan dan meningkatkan sokongan perubahan. Menurut Bass (1985), kepimpinan transformasi ditakrifkan sebagai suatu bentuk kepimpinan berwawasan dan mempunyai inspirasi yang berorientasikan hubungan seperti menyokong dan membangun, tingkah laku berorientasikan perubahan seperti menyatakan visi yang menarik, menggalakkan pemikiran yang inovatif dan beberapa tingkah laku seperti memimpin melalui teladan, nilai peribadi serta membuat pengorbanan diri untuk pasukan atau organisasi (Yukl, 2013). Selain itu, Van der Voet (2014) membincangkan bahawa kepimpinan transformasi mendorong sikap yang menggalakkan di kalangan pekerja. Yukl (2013) turut membincangkan bahawa pemimpin transformasi memberikan sokongan dan galakan kepada pengikut untuk mengekalkan semangat untuk bertahan menghadapi halangan, kesukaran, dan keletihan. Hasilnya, pengikut akan memberi kepercayaan terhadap pemimpin dan mempunyai motivasi untuk melakukan lebih daripada yang dijangka pada mulanya. TINJAUAN LITERATUR

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy