99 VARIA RANAH 2023 Kepentingan Kepimpinan Transformasi dan Komunikasi Strategik untuk Melaksanakan Konsep Malaysia MADANI dalam Perkhidmatan Awam PENGENALAN Perkhidmatan awam perlu menguruskan perubahan yang pantas disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya adalah perubahan teknologi, persekitaran dan struktur organisasi. Perubahan struktur pentadbiran kerajaan berikutan keputusan Pilihanraya Umum (PRU) ke-15 pada tahun 2022 telah membuka ruang dan peluang kepada parti politik yang berjaya memperoleh majoriti melebihi 112 kerusi parlimen iaitu gabungan Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan parti-parti lain yang membentuk kerajaan Perpaduan. Melalui perkembangan tersebut, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim selaku ketua gabungan parti politik tersebut diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 (Malaysian Gazette, 2022). Selaras dengan pertukaran kepimpinan dan pentadbiran negara, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10 telah memperkenalkan konsep dan jenama baharu iaitu Malaysia MADANI untuk melonjakkan Malaysia ke arah negara yang berdaya saing serta pesat membangun, selain menjadi gagasan baharu yang dapat mencorakkan masa depan negara agar lebih makmur dan sejahtera. Menurut YAB Perdana Menteri, konsep Malaysia MADANI merupakan suatu usaha secara bersepadu serta menyeluruh untuk memastikan pentadbiran dalam negara dapat ditambahbaik melalui perundingan dan maklum balas daripada rakyat. Kerangka ini memfokuskan pemahaman dunia pasca pandemik COVID-19 dengan mengekalkan nilai-nilai tradisi Malaysia yang dikongsi bersama oleh rakyat di negara ini. Secara ringkasnya, Ibrahim (2022) menjelaskan bahawa konsep Malaysia MADANI merupakan panduan dan usaha secara bersepadu serta holistik sebagai dasar pentadbiran yang bercirikan kemanusiaan dengan bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaiaan dan menjadi medan dialog peradaban. Dalam memastikan visi dan misi ini dapat direalisasikan, penjawat awam merupakan penggerak utama untuk melaksanakan konsep MADANI ini. Penjawat awam perlu bertindak sebagai agen perubahan dengan menghayati dan menyelami konsep Malaysia MADANI kerana ianya tidak boleh dilihat sebagai satu fahaman politik dan slogan semata-mata (Mohamed Hamidi, 2023). Malaysia MADANI merupakan usaha dan pendekatan kerajaan semasa untuk membawa perubahan yang menyeluruh kepada negara, selanjutnya mencipta kejayaan dalam menguruskan perubahan yang dilaksanakan. Justeru itu, langkah kerajaan untuk melaksanakan kerangka pembangunan MADANI adalah melalui Belanjawan 2023 dengan tema “Membangun Malaysia MADANI” yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 24 Februari 2023 oleh YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menumpukan dua belas (12) ikhtiar utama dan berlandaskan tiga (3) tekad. Menurut YAB Perdana Menteri, Belanjawan MADANI ini perlu mempunyai keupayaan untuk menggembleng seluruh kekuatan dan tenaga bagi menjayakan agenda pembangunan MADANI (Kementerian Kewangan Malaysia, 2023). PERNYATAAN MASALAH Perubahan organisasi ditakrifkan sebagai sedikit pengubahsuaian orang, struktur, atau teknologi dalam sesebuah organisasi. Berikutan itu, Thakur dan Srivastava (2018) berpandangan bahawa perubahan dalam organisasi selalunya merangkumi cabaran yang besar menyebabkan organisasi perlu mencipta perubahan yang sesuai dengan keperluannya. Perubahan kepimpinan negara dan struktur pentadbiran negara telah menyebabkan perkhidmatan awam mengalami pengubahsuaian daripada segi kepimpinan, struktur dan teknologi. Penjawat awam merupakan tulang belakang kerajaan yang setia menggalas amanah yang diberikan walaupun kerajaan silih berganti begitu juga pemimpin yang kerap
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy