Majlis Perjumpaan Pegawai-pegawai Kerajaan Bersama YAB Perdana Menteri Sesi 1 Tahun 2019

3 SESI PERJUMPAAN PEGAWAI KERAJAAN BERSAMA-SAMA YAB PERDANA MENTERI Sesi berkenaan telah dimulai dengan ucapan Aluan YBhg. Datuk Seri KSN, beliau menyampaikan rasa bersyukur atas kesudian YAB Perdana Menteri menghadiri Majlis Perjumpaan Pegawai - Pegawai Kerajaan Bersama-sama YAB Perdana Menteri Sesi 1 Tahun 2019 dengan tema ‘Perkhidmatan Awam Berintegriti Aspirasi Negara’. YBhg. Datuk Seri KSN juga memaklumkan bahawa sehingga bulan Mac 2019, jumlah perjawatan dalam perkhidmatan awam ialah sebanyak 1.710 juta dengan pengisian sebanyak 1.589 juta. YBhg. Datuk Seri KSN turut menyatakan majlis pagi ini menarik penyertaan lebih daripada 1,000 orang melibatkan pegawai dari gred Jusa C hingga gred 52 dari pelbagai kementerian, jabatan, agensi dan negeri. Program ini merupakan kesinambungan dari beberapa siri program sebelum ini antara YAB Perdana Menteri dengan pegawai awam termasuk Majlis Perjumpaan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Bersama-sama YAB Perdana Menteri di Langkawi; Program Eksekutif Khas Anggota Pentadbiran Kerajaan Malaysia di Putrajaya; dan Sesi Khas Bual Bicara Ketua Setiausaha Negara Bersama-sama Jentera Pentadbiran Pejabat YB Menteri dan YB Timbalan Menteri di Putrajaya. YBhg. Datuk Seri KSN seterusnya menyatakan program seperti ini akan diteruskan lagi supaya aspirasi Kerajaan dan nasihat daripada YAB Perdana Menteri dapat disebar luaskan kepada seluruh pegawai kerajaan. Program seterusnya dijadualkan pada bulan Jun 2019 iaitu Majlis Perjumpaan Pegawai - Pegawai Kerajaan Bersama- sama YAB Perdana Menteri bagi pegawai awam di Gred 41 hingga 48. Program seperti ini sebenarnya bermanfaat kepada penjawat awam kerana pegawai dapat mengetahui halatuju perkhidmatan awam di bawah Malaysia Baharu. Pegawai juga berpeluang berinteraksi secara terus dengan YAB Perdana Menteri dan mereka dapat menyingkap pengalaman berharga YAB Perdana Menteri dalam mendepani pelbagai isu.

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy