Majlis Perjumpaan Pegawai-pegawai Kerajaan Bersama YAB Perdana Menteri Sesi 1 Tahun 2019

17 Pertanyaan terakhir yang dibangkitkan oleh Puan Dinatra binti Mohd Saat dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat adalah berkaitan dengan pendirian Kerajaan hari ini dalam menilai dan melihat sumbangan wanita dalam pentadbiran negara. YAB Perdana Menteri menyatakan bahawa kedudukan wanita di dalam Kerajaan semakin menyerlah. Namun perkara ini tidak berlaku dengan sekelip mata malah mengambil masa dan berperingkat. Beliau mengimbau ketika mula memasuki universiti dahulu di mana hanya terdapat seorang wanita sahaja yang berjaya memasukinya iaitu isteri beliau. Namun sekarang populasi wanita di institusi pengajian tinggi mencecah sehingga 60%. Sementara itu, pencapaian dan sumbangan mereka sangat menakjubkan. Mereka berjaya menjawat pelbagai jawatan yang dahulunya didominasi golongan lelaki seperti anggota kabinet, juruterbang pesawat tempur dan menganggotai pasukan keselamatan. Beliau turut menjelaskan sebenarnya untuk memegang sesuatu jawatan di dalam kerajaan, tidak bergantung kepada gender tetapi lebih bergantung kepada kebolehan dan keupayaan individu terbabit untuk memegang jawatan tersebut. Beliau juga berpandangan layanan yang diterima oleh golongan wanita di Malaysia adalah lebih baik berbanding di sesetengah negara luar seperti Afghanistan dan Arab Saudi. Beliau turut mengingatkan agar kita jangan terlalu terikut-ikut dengan budaya barat yang memperjuangkan hak sama rata antara jantina. Ini adalah kerana Allah menjadikan lelaki dan wanita dengan kelebihan masing-masing dan saling melengkapi. Maka, beliau menasihati agar kita perlu mempertahankan identiti kita dan nilai-nilai dalam agama adalah sebaik-baik nilai yang perlu diikuti. Dengan menjawab pertanyaan akhir berkenaan, sesi dialog berkenaan tersebut diakhiri dengan juru acara menjemput para pegawai yang hadir untuk mengambil tempat bagi sesi fotografi bersama YAB Perdana Menteri.

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy