Majlis Perjumpaan Pegawai-pegawai Kerajaan Bersama YAB Perdana Menteri Sesi 1 Tahun 2019

7 Oleh yang demikian, pandangan-pandangan yang menyatakan warga tempatan tidak mampu untuk mentadbir negara dengan baik adalah tidak benar. Hanya mereka tidak diberi peluang untuk melakukannya. Apabila diberi peluang, mereka mampu mentadbir negara jauh lebih baik berbanding zaman penjajahan dahulu. Namun, tidak dinafikan terdapat segelintir warga tempatan yang tidak senang apabila negara ditadbir oleh anak tempatan kerana kesetiaan mereka masih kekal kepada Kerajaan British. Walau bagaimanapun, fenomena ini tidak berpanjangan apabila mereka turut mengalih kesetiaan kepada Kerajaan yang dipilih oleh rakyat. YAB Perdana Menteri tidak menafikan kepakaran British diperlukan untuk membantu dalam pentadbiran negara ketika di awal kemerdekaan. Semasa Parti Perikatan memerintah negara di awal kemerdekaan, terdapat tiga orang warga British di dalam barisan kabinet negara khususnya untuk menjaga dan menguruskan hal ehwal kewangan negara. Namun, perkhidmatan mereka tidak berpanjangan dan secara beransur-ansur, pentadbiran negara mula diterajui oleh warga tempatan. Sejak itu, beliau melihat lebih banyak kemajuan, malah lebih baik berbanding ketika era pentadbiran British yang hanya mementingkan kepentingan mereka sendiri. Pentadbiran kerajaan selepas itu dan selama 61 tahun berikutnya lebih menumpukan kepada pembangunan negara dan diperintah oleh sebuah kerajaan campuran iaitu Parti Perikatan dan kemudiannya dikenali sebagai Barisan Nasional (BN). Tempoh pemerintahan yang panjang oleh BN menyebabkan pegawai kerajaan turut beranggapan bahawa negara akan terus ditadbir dan diterajui oleh BN dan merasakan hanya satu-satunya parti yang mampu mentadbir dan membangunkan negara dengan baik. Oleh itu, mereka menumpukan seluruh kesetiaan kepada Kerajaan yang memerintah.

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy