Kesejahteraan Sosial
148 KOMPENDIUM REKOMENDASI POLISI KESEJAHTERAAN PSIKOLOGI PERKHIDMATAN AWAM KESEJAHTERAAN SOSIAL 2.0 PERNYATAAN MASALAH Di Malaysia, institusi keluarga kini berhadapan dengan cabaran yang semakin meruncing akibat konflik rumah tangga yang tidak berjaya diselesaikan secara berkesan. Keadaan ini dapat dilihat melalui peningkatan kes berkaitan masalah institusi kekeluargaan, termasuk kes perceraian, keganasan rumah tangga, dan penderaan kanak- kanak yang menunjukkan lonjakan ketara sejak tahun 2020. Situasi ini semakin membimbangkan apabila penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menyumbang kepada peningkatan kes keganasan domestik, akibat tekanan ekonomi dan sosial yang dihadapi oleh isi rumah. Laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia (2020) melaporkan bahawa jumlah perceraian dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat sebanyak 12 peratus, dengan 56,975 kes direkodkan pada tahun 2019 berbanding 50,862 kes pada tahun sebelumnya. Lebih membimbangkan, sekitar 80 peratus daripada keseluruhan kes tersebut melibatkan pasangan beragama Islam, khususnya daripada kumpulan B40 seperti peniaga kecil, pekerja kilang, pembantu kedai makan dan golongan bekerja sendiri (Hafiz, 2020). Fenomena ini mencerminkan kegagalan sistem sokongan kekeluargaan sedia ada dalammenangani tekanan dan ketidakseimbangan hubungan antara pasangan. Dalam masa yang sama, skor terkini Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) 2019 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menunjukkan tahap kesejahteraan keluarga masih berada pada paras sederhana, dengan skor 7.72 (KPWKM, 2022). Hal ini memberi isyarat jelas bahawa kesejahteraan keluarga perlu dikaji semula secara lebih menyeluruh dan sistematik. Tambahan pula, pelbagai dimensi kesejahteraan keluarga masih belum dirangkum dalam satu model yang holistik. Pengukuran yang sedia ada sering kali bersifat serpihan dan tidak konsisten, dengan menekankan aspek material, lokaliti, spiritual, emosi, dan hubungan sosial secara terpisah (Abdul Wahab et al., 2021). Malah, kebanyakan kajian yang ada cenderung berpaksikan perspektif barat tanpa mengintegrasikan nilai-nilai dan pandangan Islam yang bersifat lebih menyeluruh dalam menangani isu kekeluargaan (Jalil et al., 2017).
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy