Kesejahteraan Sosial
06 STRATEGI HOLISTIK MENANGANI KONFLIK PERKAHWINAN 147 Kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh sebenarnya bermula dari institusi keluarga. Keluarga berperanan sebagai kelompok sosial yang saling bekerjasama dari aspek tempat tinggal, ekonomi, pembiakan, pendidikan dan pembangunan emosi anak-anak (Fatimah, 2016). Sejak dahulu lagi, institusi keluarga telah berfungsi sebagai sistem sokongan emosi dan fizikal serta memainkan peranan penting dalam proses sosialisasi (Rozumah et al., 2011). Struktur keluarga yang stabil dibentuk melalui hubungan antara sub-sistem dalam keluarga iaitu suami, isteri, ibu bapa, adik-beradik dan anak-anak. Keseimbangan hubungan ini menjadi tunjang kepada kelangsungan dan kesejahteraan rumah tangga. Sebaliknya, gangguan terhadap mana-mana sub-sistem ini boleh menjejaskan fungsi kekeluargaan secara keseluruhan (Rumaya, Hanina & Sa’odah, 2013). Ketidakharmonian dalam hubungan pasangan lazimnyamencerminkan kelemahan dalam institusi perkahwinan dan memberi kesan negatif terhadap kualiti hubungan serta kesejahteraan emosi pasangan (Sa’odah, 2002). Pelbagai cabaranbaru turutmemberi tekanan kepada kesejahteraan keluarga. Kajian oleh Abd Manaf et al. (2023) mendapati bahawa tekanan ekonomi, gaya hidup moden, dan perubahan peranan gender telah memberi kesan langsung kepada kestabilan rumah tangga. Kajian kualitatif oleh Haikal et al. (2024) pula menegaskan bahawa konflik rumah tangga berkait rapat dengan tekanan sosioekonomi dan ketidakseimbangan dalam peranan pasangan, terutama dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah. Selain itu, laporan LPPKN terkini (2025) juga menunjukkan bahawa terdapat peningkatan keperluan untuk strategi intervensi yang mengambil kira kebahagiaan pasangan sebagai indikator utama kestabilan rumah tangga. Justeru, pembangunan model kebahagiaan pasangan yang holistik dan berasaskan data empirikal amat penting dalam menyokong usaha kerajaan untuk merangka strategi dasar keluarga yang lebih responsif dan inklusif dalam menangani isu konflik perkahwinan masa kini.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy