GABUNG JURNAL 2024
73 Jurnal Psikologi & Kaunseling PerkhidmatanAwam Malaysia 2024, Bil. 18, ISSN: 2229-810X TINJAUAN LITERATUR Literasi Kesihatan Mental Kesihatan mental merujuk kepada tahap kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial individu yang mempengaruhi cara seseorang berfikir, merasa dan bertindak dalam kehidupan seharian. Ia turut menentukan keupayaan seseorang dalam menangani tekanan hidup, membina hubungan interpersonal yang sihat, serta membuat keputusan yang rasional dan berfungsi secara produktif dalam komuniti (Hassan et al., 2018). Justeru, kesihatan mental bukan sekadar ketiadaan penyakit mental, tetapi merangkumi keupayaan individu untuk mencapai potensi diri dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat. Gangguan psikologi seperti kemurungan, keresahan, dan tekanan kronik telah terbukti memberi kesan negatif terhadap prestasi di tempat kerja. Individu yang mengalami gejala kesihatan mental lazimnya menghadapi kesukaran untuk mengekalkan tumpuan, membuat keputusan secara efektif, atau mengekalkan motivasi kerja, yang akhirnya menjejaskan tahap produktiviti dan kesejahteraan keseluruhan organisasi. Kesan ini tidak hanya terbatas kepada individu itu sendiri, tetapi turut memberi impak kepada ahli keluarga, rakan sekerja dan masyarakat sekeliling (Chua, 2020). Menurut tinjauan oleh Shuresh Ram (2019), pekerja di Malaysia kini berada dalam kategori berisiko tinggi untuk mengalami gangguan kesihatan mental, terutamanya disebabkan peningkatan tekanan dan beban kerja. Ini berlaku merentasi kedua-dua sektor awam dan swasta. Namun begitu, meskipun peratusan individu yang menunjukkan gejala kesihatan mental adalah tinggi, hanya sekitar 20% daripada mereka yang benar-benar mendapatkan rawatan profesional yang sepatutnya. Antara faktor utama yang dikenal pasti ialah kekurangan perkhidmatan Kesihatan mental yang mudah diakses, stigma sosial, dan kurangnya literasi kesihatan mental dalam kalangan masyarakat (Chua, 2020).
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy