GABUNG JURNAL 2024

Dari Meja Editor Jurnal Psikologi dan Kaunseling Perkhidmatan Awam Malaysia yang ke-18 bagi tahun 2024 diterbitkan bagi mengembangkan hasil kajian dalam konteks penyampaian perkhidmatan awam di Malaysia. Jurnal Psikologi dan Kaunseling Perkhidmatan Awam Malaysia tahun 2024 memuatkan sebanyak 9 artikel, yang meliputi pelbagai aspek kajian sama ada secara kuantitatif dan kualitatif. Kesemua artikel berkaitan kajian adalah dalam bidang psikologi dan kaunseling. Artikel pertama bertajuk “ Pengaruh Kecerdasan Emosi Terhadap Tahap Tekanan, Kebimbangan Dan Kemurungan Kakitangan Di Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang ” mengkaji hubungan dan pengaruh kecerdasan emosi terhadap stres, kebimbangan dan kemurungan dalam kalangan staf Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang. Reka bentuk kajian ini adalah kuantitatif dengan menggunakan instrumen DASS-21 dan Emotional Intelligence Scale. Seramai 481 pegawai dari pelbagai gred dan jawatan menyertai kajian ini. Dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan signifikan antara kecerdasan emosi dengan tahap stres, kebimbangan, dan kemurungan. Pengurusan emosi yang baik dapat membantu mengurangkan stres, kebimbangan, dan kemurungan, manakala kesedaran kendiri, kemahiran sosial, dan empati turut memberi kesan terhadap kesejahteraan psikologi. Artikel kedua adalah bertajuk “ Hubungan Antara Tekanan Kerja Dan Penglibatan Kerja Dalam Kalangan Warga Jabatan Perdana Menteri ” mengkaji hubungan antara stres kerja dan penglibatan kerja dalam sektor kerajaan. Kajian kuantitatif ini melibatkan 217 responden dan data diperoleh melalui pengedaran soal selidik menggunakan kaedah persampelan rawak mudah. Analisis deskriptif yang melibatkan skor min dan peratusan digunakan untuk meneliti tahap stres kerja serta penglibatan kerja. Dapatan kajian menunjukkan tekanan kerja berada pada tahap rendah, manakala penglibatan kerja adalah tinggi. Terdapat hubungan negatif sederhana antara tekanan kerja dan penglibatan kerja. Kajian mencadangkan program-program psikopendidikan seperti pengurusan stres dan kesejahteraan di tempat kerja bagi meningkatkan penglibatan kerja. vi

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy