GABUNG JURNAL 2024
36 POS membawa kepada Komitmen Organisasi melalui pertukaran sosial ( social exchange ) dan proses peningkatan kendiri pekerja (Eisenberger dan Stinglhamber, 2011). Eisenberger dan Stinglhamber (2011) menegaskan pentingnya pekerja dalam mencari keseimbangan dalam hubungan pertukaran sosial dengan organisasi, agar dapat membalas budi organisasi melalui komitmen organisasi. Apabila pekerja menganggap organisasi mereka sebagai entiti yang menghargai dan mengambil berat tentang kebajikan mereka, mereka akan terdorong untuk menunjukkan rasa tanggungjawab dengan memberikan komitmen yang tinggi terhadap organisasi (Tsui, Pearce, Porter dan Tripoli, 1997). Tanggapan sokongan organisasi merupakan ekspresi yang ditunjukkan pekerja mengenai sejauh mana organisasi menghargai sumbangan dan menjaga kebajikan mereka (Le dan Lei, 2019). Rozdi, Othman, Ahmad dan Mohamed (2017) menyatakan bahawa semakin tinggi tahap tanggapan sokongan pekerja, semakin jelas bahawa organisasi berhasil melaksanakan tanggungjawab dalam menjaga kebajikan dan menghargai pekerjanya. Kim, Eisenberger dan Baik (2016) telah menjelaskan bahawa seseorang pekerja cenderung mentafsir sokongan organisasi yang diterima sebagai keterikatan psikologi dan rasa tanggungjawab terhadap organisasi. Kajian terkini menunjukkan bahawa pembentukan komitmen organisasi adalah merupakan kesan daripada tanggapan sokongan organisasi yang tinggi di kalangan pekerja (Malik dan Asma, 2020). Walaupun tanggapan sokongan organisasi dan komitmen organisasi secara konseptual dan empirikal berbeza, kedua-dua pemboleh ubah ini mempunyai hubungan yang unik dalam konteks pengurusan dan psikologi organisasi (Pattnaik, Mishra dan Tripathy, 2020).
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy