GABUNG JURNAL 2024
Jurnal Psikologi & Kaunseling PerkhidmatanAwam Malaysia 2024, Bil. 18, ISSN: 2229-810X 35 Allen (1995) telah mengkaji sejauh mana hubungan komunikasi dengan teori POS ke atas 113 orang pekerja di dalam dua buah syarikat kejuruteraan. Kajian ini menekankan dimensi sokongan organisasi, maklum balas positif yang diamalkan pengurusan atasan dan pembuatan keputusan pengurusan berkaitan dengan polisi organisasi. Hasil dapatan telah menunjukkan bahawa persepsi pekerja amat bergantung kepada pengamalan pengurusan organisasi di dalam memberikan sokongan kepada pekerja seperti kekerapan organisasi di dalam memberikan maklumbalas positif kepada sumbangan pekerja terhadap tugasan yang telah dilaksanakan dan sejauh mana pekerja mampu merasai input keputusan atau polisi yang telah dikeluarkan oleh pengurusan. POS berpandangan kecenderungan pekerja dalam menilai organisasi sebagai menguntungkan atau merugikan adalah banyak bergantung kepada warga organisasi itu sendiri (Eisenberger, Huntington, Hutchinson dan Sowa, 1986). Levinson (1965) menyatakan setiap organisasi adalah berkuasa dalam menetapkan peraturan/ dasar, memperkenalkan serta mempromosikan norma (budaya) kerja yang dimahukan, bertanggungjawab ke atas tindakan pekerjanya, menentukan peranan dan memberi pengaruh ke atas pekerjanya. Pekerja pula akan melihat organisasi sebagai sebuah entiti yang mempunyai ciri-ciri seperti manusia ( personification ) di sebabkan pekerja harus mengikut ekspektasi (jangkaan) yang telah ditentukan oleh organisasi agar dilihat sebagai pekerja yang produktif dan bernilai tinggi. Personifikasi organisasi adalah asas kepada POS sebagai medium untuk pekerja meringkaskan interaksi mereka terhadap pengurusan organisasi. Kitaran interaksi antara pekerja dan organisasi ini menyebabkan pekerja mula menganggap organisasi sebagai entiti yang mempunyai orientasi yang positif atau negatif. POS berfungsi untuk memenuhi keperluan sosioemosi (penghargaan, gabungan dan sokongan emosi) yang seterusnya membawa kepada penglibatan dalam organisasi (Eisenberger et al., 1986; Eisenberger dan Stinglhamber, 2011).
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy