GABUNG JURNAL 2024
34 Kajian Literatur Perceived Organizational Support (POS) Eisenberger, Huntington, Hutchinson dan Sowa (1986) memperkenalkan Perceived Organizational Support (POS) sebagai panduan untuk memahami persepsi pekerja terhadap sokongan organisasi. Konsep ini melibatkan sejauh mana organisasi menghargai sumbangan pekerja dalam melaksanakan tugas mereka, menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan pekerja serta mengamalkan keadilan dan kesaksamaan dalam pengurusan terutama dalam aspek pemberian ganjaran tanpa sebarang diskriminasi (Ashforth, 1985; Schneider, 1975). Teori POS telah memberi gambaran sejauh mana sumbangan pekerja terhadap organisasi adalah sangat bergantung kepada kualiti layanan telah diterima daripada pengurusan organisasi itu sendiri. Teori ini bermula dengan proses pertukaran sosial yang mana pekerja mulai berasa bertanggung jawab untuk membantu organisasi dalam mencapai misi dan visi organisasi di samping mengharapkan ganjaran yang lebih besar yang akan diberikan nanti. POS menekankan keperluan sosioemosi yang perlu dipenuhi, memantapkan identiti pekerja dan meningkatkan komitmen pekerja terhadap organisasi seiring dengan semangat yang tinggi untuk membantu kejayaan organisasi sehingga memupuk kesejahteraan psikologi dengan lebih baik (Kurtessis, Eisenberger, Ford, Buffardi dan Adis, 2015). Penilaian pekerja menurut POS akan mempengaruhi usaha pekerja itu nanti di dalam memahami, meramal dan bertindak balas terhadap suasana persekitaran pekerjaan mereka. Persepsi yang sama secara tidak langsung akan mempengaruhi komitmen pekerja terhadap pekerjaan mereka (Allen, 1992; Eisenberger et al., 1986), sikap dan tingkah laku pekerja seperti membuat inovasi untuk meningkatkan produktiviti pekerjaan dan tindakan prososial yang menguntungkan organisasi jangka masa panjang (Eisenberger, Fasolo Dais-LaMastro, 1990).
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy