GABUNG JURNAL 2024

Jurnal Psikologi & Kaunseling PerkhidmatanAwam Malaysia 2024, Bil. 18, ISSN: 2229-810X 3 Bagi sektor keselamatan, Ahmad Tarmizi dan Mohammad Aziz Shah (2023) telah mengkaji hubungan burnout terhadap stres, kebimbangan dan kemurungan di kalangan tentera payung terjun di Melaka dan mendapati bahawa individu yang menunjukkan tahap stres, kebimbangan dan kemurungan yang tinggi berkait dengan burnout yang menjejaskan kesihatan mental. Manakala kajian yang telah dijalankan oleh Mohd Juraimy et al. (2021) terhadap hubungan kecerdasan emosi dengan tekanan kerja dan kepuasan kerja dalam kalangan anggota Tentera Darat Malaysia mendapati terdapat hubungan yang signifikan di antara kecerdasan emosi dengan kepuasan kerja namun tidak dengan tekanan kerja. Elemen-elemen dalam kecerdasan emosi iaitu mengenali emosi diri, pengurusan emosi diri, kesedaran sosial dan kemahiran sosial merupakan peramal penting terhadap kepuasan kerja dalam kalangan anggota Tentera Darat Malaysia. Konsep kecerdasan emosi atau emotional intelligence (EI) diperkenalkan oleh Mayer dan Salovey (1990). Kecerdasan emosi adalah salah satu kecerdasan sosial yang melibatkan keupayaan individu untuk mengawal perasaan sendiri dan juga orang lain serta menggunakan maklumat untuk mempengaruhi pemikiran dan tingkahlaku seseorang individu. Istilah ini dikembangkan dan dipopularkan oleh Goleman, D pada tahun 1995 yang menghuraikan kecerdasan emosi sebagai keupayaan memotivasikan diri dan memahami emosi, mampu bangkit menghadapi kekecewaan dan cabaran, regulasi emosi dan mempamerkan empati. Selain itu, Schutte et al. (1998) menyatakan kecerdasan emosi ini jika digunakan secara berkesan dalam hubungan sosial boleh mewujudkan hubungan yang sihat dan mesra dalam persekitaran kerja antara pekerja dan majikan. Fatimah et al. (2016) turut bersetuju bahawa kecerdasan emosi adalah satu proses keupayaan seseorang dalam mengawal emosi, pemikiran dan mental dalam sesuatu keadaan. Kecerdasan emosi juga merujuk kepada kesedaran terhadap perasaan dan kemahiran dalam menguruskan emosi yang akan menjadikan seseorang itu mempunyai kestabilan emosi dan bertahan dalam jangka masa yang lebih lama (Singh et al., 2021).

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy