Indeks Keterlibatan Pegawai Pihak Berkuasa Tempatan 2019

6 Metodologi A. Responden Bagi kajian ini, bilangan pegawai PBT yang terlibat sebagai responden adalah seramai 30,429 orang dengan pecahan seperti di bawah: i. Majlis Bandaraya/Dewan Bandaraya (8,424 orang) ii. Majlis Perbandaran (15,515 orang) iii. Majlis Daerah (6,490 orang) B. Instrumen Instrumen kajian ini diadaptasi daripada kaji selidik oleh UK Civil Service People Survey (2013). Instrumen kajian ini mengandungi 58 soalan utama berkaitan 12 pembolehubah kajian dan 9 soalan mengenai latar belakang responden. Responden diberi pilihan untuk menjawab soalan kajian berdasarkan pilihan jawapan lima (5) skala Likert iaitu 5 (sangat bersetuju), 4 (bersetuju), 3 (neutral), 2 (tidak bersetuju) dan 1 (sangat tidak bersetuju). Maklumat lanjut mengenai instrumen kajian dapat dirujuk pada Lampiran A. C. Elemen dan Kaedah Pengiraan IKP Keterlibatan pegawai diukur berdasarkan lima elemen utama iaitu kebanggaan, inspirasi, motivasi, perakuan dan keterikatan. Kombinasi semua elemen tersebut menentukan tahap keterlibatan pegawai, yang ditunjukkan oleh purata skor kelima-lima elemen tersebut. D. Kesahan dan Kebolehpercayaan Tahap kesahan dan kebolehpercayaan bagi soalan-soalan dalam kajian ini telah dinilai melalui kajian rintis yang telah dijalankan pada tahun 2016 dengan melihat kepada kesahan muka dan analisis internal consistency . Seramai 35 orang responden yang terdiri daripada pelbagai gred dan skim perkhidmatan di KPKT, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) dan PBT telah terlibat dalam kajian rintis yang telah dijalankan. Nilai Cronbach Alpha berdasarkan setiap faktor kajian adalah di antara 0.83 hingga 0.96 dengan faktor Ketua Saya Pengurus Perubahan - Penyelia menunjukkan nilai yang tertinggi. Maklumat lanjut mengenai hasil analisis kebolehpercayaan instrumen ini dapat dilihat berdasarkan Lampiran B. E. Tempoh Masa Kutipan Data dan Kadar Respon Kutipan data mengambil masa selama tujuh (7) minggu bermula 10 Jun hingga 26 Julai 2019. Sasaran kadar respon bagi kajian ini adalah sekurang-kurangnya 60% kerana kadar respon 20% dianggap terlalu rendah manakala kadar respon 80% dianggap sebagai satu standard de facto yang sukar dicapai oleh kajian yang berskala besar. Oleh itu, aspek paling utama ialah sampel tersebut mewakili semua sub komuniti sesebuah populasi.

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy