Sekapur Sirih Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera. Secara umumnya, integriti merangkumi sikap, tingkah laku dan segala perbuatan yang berlandaskan sifat jujur, amanah dan tanggungjawab. Semua ini bukanlah perkara asing bagi kita. Malah kita dididik sedari kecil untuk mengamalkan budaya hidup positif dan sentiasa mementingkan nilai-nilai murni dalam segenap aspek kehidupan. Sungguhpun demikian, kita harus akui walaupun integriti merupakan perkataan yang mudah untuk dilafazkan, namun ia adalah sesuatu yang amat sukar untuk dipraktikkan. Pembudayaan prinsip integriti dalam kehidupan bermula dari rumah dan harus diperkukuh sepanjang fasa kehidupan individu, dari sekolah ke alam pekerjaan hinggalah ke hujung usia. Kita semua tidak seharusnya berkompromi dengan isu integriti ini. Lantas, menjadi tanggungjawab dan amanah kepada pegawai awam untuk bersama-sama memastikan integriti kita tidak dipersoal mahupun diperlekehkan oleh rakyat. Pengurusan tatatertib dalam perkhidmatan awam merupakan elemen penting dalam membentuk pegawai agar memiliki tatakelola yang baik, berintegriti tinggi, bermotivasi dan memiliki nilai-nilai murni sama ada dalam kerjayanya mahupun kehidupannya. Dalam konteks pengurusan tatatertib, adalah menjadi amanah dan tanggungjawab semua Ketua Jabatan, Pengurus Sumber Manusia, Ketua Unit Integriti dan ahli Lembaga Tatatertib untuk mempunyai ilmu pengetahuan dan kefahaman yang mencukupi dan menyeluruh berkaitan dengan dasar dan prosedur peraturan tatatertib yang berkuat kuasa bagi memastikan prinsip adil dan saksama diutamakan. Prinsip adil dan saksama ini amat penting kerana apabila suatu hukuman tatatertib dijatuhkan ke atas pegawai, ia akan memberi implikasi kepada faedah serta hak pegawai seperti kenaikan pangkat, peluang kursus dan latihan, faedah persaraan, ganjaran dan perkara-perkara lain yang ditentukan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa. Setitik Nila 2.0: Koleksi Pengurusan Kes Tatatertib Pegawai Awam | i
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy