KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 7 TAHUN 1999

SKIM BAYARAN UPAH IKUT JAM ATAU KERJA
 

TUJUAN

1.    Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan menguatkuasakan keputusan Kerajaan memperkenalkan Skim Bayaran Upah Ikut Jam (hourly rate) atau Bayaran Upah Ikut Kerja (piece rate) dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan.

LATAR BELAKANG

2.    Pada masa ini pengambilan pekerja yang dibayar upah atau elaun mengikut tempoh masa (jam) atau jenis/jumlah kerja yang disempurnakan telahpun digunapakai secara terhad di beberapa buah agensi awam. Walau bagaimanapun cara ianya dilaksanakan, terutamanya dari segi kaedah penetapan kadar upah dan jenis kerja yang terlibat agak berbeza dengan kaedah yang ditetapkan untuk Skim Bayaran Upah Ikut Jam Atau Kerja yang diperkenalkan oleh Pekeliling Perkhidmatan ini. Skim ini adalah merupakan satu lagi alternatif yang boleh dimunafaatkan oleh ketua jabatan untuk mendapatkan pekerja yang mereka perlukan untuk melaksanakan tugas tertentu di agensi masing-masing.

DEFINISI

3.    Untuk maksud Pekeliling Perkhidmatan ini dan Panduan di Lampiran A, kecuali konteksnya menghendaki makna yang lain -

"agensi awam" bererti kementerian (Persekutuan dan negeri), jabatan (Persekutuan dan negeri), Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan negeri) dan Pihak Berkuasa Tempatan;

"ketua jabatan" bererti pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Atasan dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang mengetuai sesebuah agensi awam di peringkat ibu pejabat dan negeri;

"Pegawai Penyelia" bererti pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional ke atas yang diberi kuasa secara bertulis oleh ketua jabatan untuk menguruskan pengambilan Pekerja Khidmat Singkat (atau PKS) dan menyelia tugas yang mereka laksanakan;

"Pekerja Khidmat Singkat" atau "PKS" bererti pekerja yang diambil berkhidmat mengikut syarat yang ditetapkan dalam Panduan kepada Pekeliling Perkhidmatan ini. Mereka bukan pegawai awam atau pegawai sedang berkhidmat bagi maksud Perintah-Perintah Am Bab A 1973;

"upah ikut jam" bererti upah yang dibayar kepada PKS berdasarkan kepada kadar bagi setiap satu jam mengikut syarat dan formula yang ditetapkan dalam Panduan kepada Pekeliling Perkhidmatan ini;

"upah ikut kerja" bererti kadar upah yang ditetapkan mengikut jenis atau jumlah kerja yang disempurnakan oleh seseorang PKS mengikut Panduan kepada Pekeliling Perkhidmatan ini.

PELAKSANAANNYA

4.    Ketua jabatan yang ingin melaksanakan Skim ini dinasihatkan supaya mematuhi Panduan di Lampiran A . Perlu diingat bahawa Skim Bayaran Upah Ikut Jam Atau Kerja ini adalah sebagai tambahan kepada skim bayaran upah atau elaun yang sedia ada, dan ia tidak sekali-kali bertujuan menggantikan skim tersebut.

TARIKH KUATKUASA

5.    Pekeliling Perkhidmatan ini dan Panduan di Lampiran A berkuatkuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan.

PEMAKAIAN

6.    Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini serta Panduannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

 

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

 

(TAN SRI DATO’ SAMSUDIN BIN OSMAN)

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,
Malaysia.

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
KUALA LUMPUR

15 OGOS 1999.

Semua Ketua Setiausaha Kementerian
Semua Ketua Jabatan Persekutuan
Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Pihak Berkuasa Berkanun
Semua Pihak Berkuasa Tempatan