KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA

MALAYSIA

____________________

 

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 2 TAHUN 2002

 

­_____________________

 

 

PENGISIAN JAWATAN PERSEKUTUAN
OLEH PEGAWAI AWAM NEGERI

 

 

 

TUJUAN

 

1.                  Pekeliling ini bertujuan menghuraikan kaedah menempatkan semula pegawai awam negeri yang sedang mengisi jawatan Persekutuan, khususnya jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian / Operasi) Gred N7 dan N9 ke perkhidmatan awam negeri.

 

DEFINISI

 

2.                  Dalam Pekeliling ini:

 

jawatan Persekutuan bermaksud jawatan yang diwujudkan melalui waran perjawatan untuk kementerian atau jabatan Persekutuan;

 

            pegawai awam negeri bermaksud seseorang yang dilantik sama ada secara tetap, sementara atau kontrak oleh mana-mana Suruhanjaya Perkhidmatan Awam negeri;

 

pegawai awam Persekutuan bermaksud seseorang yang dilantik sama ada  secara tetap, sementara atau kontrak oleh mana-mana Suruhanjaya Perkhidmatan Persekutuan.

 

LATAR BELAKANG

 

3.         Pengisian jawatan Persekutuan, khususnya jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian / Operasi) Gred N7 dan N9 oleh pegawai awam negeri melalui proses penempatan atau pertukaran biasa telah lama berlaku. Dengan adanya peruntukan  Fasal (1) Perkara 134 Perlembagaan Persekutuan, pengisian melalui kaedah ini tidak teratur dan dengan itu tidak sah di sisi undang-undang, khususnya dari segi pembayaran emolumen dan pelaksanaan tugas pegawai berkenaan.

 

 

LANGKAH PEMBETULAN

 

4.                  Untuk mengatasi masalah ini, Jabatan Perkhidmatan Awam telah memutuskan untuk melaksanakan langkah berikut mulai dari tarikh Pekeliling ini dikeluarkan:

 

(i)        Langkah Pertama

 

Kerajaan negeri hendaklah memastikan semua jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian / Operasi) Gred N7 dan N9 dalam perkhidmatan awam negeri yang kosong secara hakiki diisi melalui penempatan  semula semua pegawai perkhidmatan awam negeri yang sedang menyandang jawatan Persekutuan. Urusan ini hendaklah dilakukan dalam tempoh enam (6) bulan dari tarikh Pekeliling ini dikuatkuasakan. Pada masa yang sama Kerajaan Negeri tidak dibenarkan mengisi jawatan Persekutuan yang kosong kerana urusan pengisian jawatan tersebut akan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan.

 

(ii)       Langkah Kedua

 

Pegawai perkhidmatan awam negeri yang tidak dapat ditempatkan ke perkhidmatan awam negeri dalam tempoh di atas akan ditawarkan opsyen sama ada kembali ke perkhidmatan awam negeri atau ditukar lantik ke perkhidmatan awam Persekutuan, iaitu ke jawatan yang sedang mereka sandang sekarang. Jika pegawai memilih untuk kembali ke perkhidmatan awam negeri dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai jawatan kosong untuk menampung penempatan mereka:

 

(a)               pegawai akan ditawarkan pelantikan secara pinjaman oleh Kerajaan Persekutuan untuk membolehkan mereka terus berkhidmat dengan perkhidmatan awam Persekutuan bagi tempoh tidak lebih dua (2) tahun;

 

(b)              dalam tempoh pinjaman itu Kerajaan Negeri akan terus berusaha menempatkan mereka semula ke perkhidmatan awam negeri; dan

 

(c)              pegawai akan ditawarkan syarat pinjaman tanpa sebarang insentif seperti yang biasa ditawarkan kepada pegawai pinjaman mengikut peruntukan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2000.

 

(iii)     Langkah Ketiga

 

Jika pegawai masih tidak dapat ditempatkan kembali ke perkhidmatan awam negeri selepas tamat tempoh pinjaman 2 tahun itu:

 

(a)               Kerajaan Negeri mengesahkan secara bertulis kepada Jabatan Perkhidmatan Awam bahawa mereka tidak dapat menempatkan pegawai tersebut kembali ke perkhidmatan awam negeri;

 

(b)              Kerajaan Persekutuan akan menawarkan opsyen yang kedua kepada pegawai. Melalui opsyen kali kedua ini pegawai akan diberi pilihan sama ada bertukar tetap ke perkhidmatan awam Persekutuan atau menolak tawaran pertukaran tetap tersebut; dan

 

(c)       jika pegawai menolak opsyen pertukaran tetap, mereka akan dibersarakan mengikut peruntukan seksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 (jika mereka pegawai berpencen) atau ditamatkan perkhidmatan (jika mereka bukan pegawai berpencen).

 

5.                  Untuk memastikan pegawai yang memilih pertukaran pelantikan atau pertukaran tetap ke perkhidmatan awam Persekutuan tidak mengalami kerugian, mereka akan ditawarkan keistimewaan seperti berikut:

 

(i)        mereka tidak akan ditukar keluar dari negeri tempat mereka berkhidmat sekarang kecuali disebabkan oleh pelantikan ke jawatan yang lain, kenaikan pangkat, tindakan tatatertib atau atas permohonan mereka sendiri; dan

 

(ii)      kekananan mereka di jawatan akan dikira dari tarikh mereka dilantik ke jawatan yang sama dalam perkhidmatan awam negeri.

 


TANGGUNGJAWAB JABATAN NEGERI DAN PERSEKUTUAN

 

6.                  Ketua Jabatan bagi perkhidmatan awam negeri yang terbabit dikehendaki mengemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam dalam tempoh 3 bulan dari tarikh Pekeliling ini maklumat pegawai perkhidmatan awam negeri yang menyandang jawatan dalam perkhidmatan awam Persekutuan mengikut format di Lampiran A.

 

7.         Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan bagi perkhidmatan awam Persekutuan pula bertanggungjawab memastikan jawatan yang kosong, khususnya di peringkat negeri, diisi dengan segera oleh pegawai perkhidmatan awam Persekutuan;

 

8.         Maklumat pertukaran pelantikan atau pertukaran tetap pegawai hendaklah direkodkan dalam Rekod Perkhidmatan pegawai.

 

TARIKH KUATKUASA

 

9.         Pekeliling ini berkuatkuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan.

 

PEMAKAIAN

 

10.             Semua pihak berkuasa negeri, khususnya bagi negeri yang ada menempatkan pegawainya di jawatan Persekutuan dikehendaki menerimapakai dan melaksanakan Pekeliling ini sepenuhnya.

 

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

 

 

 

(TAN SRI JAMALUDDIN BIN HAJI AHMAD DAMANHURI)

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Malaysia.

 

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA

KUALA LUMPUR

 

Tarikh:   26  JUN 2002

 

Semua Ketua Jabatan Persekutuan

 

Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri