KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA

MALAYSIA

                                               


PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN  19 TAHUN 2001

 


 

SKIM PERKHIDMATAN PENOLONG PEGAWAI TADBIR TANAH

DAN PEMBANTU TADBIR TANAH 

 

 

TUJUAN

 

1.      Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan kerajaan mewujudkan skim perkhidmatan baru iaitu skim perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Tanah dan Pembantu Tadbir Tanah bagi anggota yang menjalankan tugas-tugas pengurusan tanah di peringkat Kumpulan Sokongan  untuk  pemakaian  di  negeri Sabah sahaja mulai 1 Oktober 2001.

 

LATAR BELAKANG

 

2.      Di negeri Sabah tugas-tugas pengurusan tanah di peringkat Kumpulan Sokongan dilakukan oleh Penolong Pegawai Tadbir dan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi).  Tugas-tugas ini semasa di bawah Jawatankuasa Kabinet (JKK) dilakukan oleh Penolong Pegawai Pentadbir Tanah dan Pegawai Kerani.

 

3.      Di bawah Sistem Saraan Baru (SSB) Penolong Pegawai Pentadbir Tanah telah digabungkan menjadi Penolong Pegawai Tadbir dan Pegawai Kerani digabungkan menjadi Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi).  Skim perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir yang digunapakai sekarang adalah seperti terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2001 manakala skim perkhidmatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) yang digunapakai sekarang adalah seperti terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1991.

 

SKIM PERKHIDMATAN BARU

 

4.         Bagi memantapkan lagi bidang pengurusan tanah, kerajaan bersetuju mewujudkan skim perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Tanah dan Pembantu Tadbir Tanah yang akan digunapakai bagi anggota perkhidmatan awam untuk mengambil alih tugas-tugas pengurusan tanah di peringkat Kumpulan Sokongan daripada Penolong Pegawai Tadbir dan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi).

 

5.         Skim perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Tanah diletakkan di bawah Klasifikasi Perkhidmatan Pentadbiran dan Sokongan (N) di bawah bidang Pentadbiran.  Skim perkhidmatan ini mempunyai dua (2) lapisan gred iaitu Gred N6 dan N5. 

 

6.         Skim perkhidmatan Pembantu Tadbir Tanah pula diletakkan juga di bawah Klasifikasi Perkhidmatan Pentadbiran dan Sokongan (N) di bawah bidang Pentadbiran.  Skim Perkhidmatan ini mempunyai dua (2) lapisan gred juga iaitu Gred N9 dan N7.

 

7.         Ketua Perkhidmatan bagi kedua-dua perkhidmatan ini berubah dari Y.B. Setiausaha Negeri Sabah kepada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah. 

 

8.         Fungsi utama perkhidmatan baru ini ialah untuk menjalankan tugas-tugas pengurusan tanah di peringkat Kumpulan Sokongan dan bidang tugas pengurusan tanah ini meliputi aspek-aspek pentadbiran tanah, penguatkuasaan tanah dan tugas-tugas lain yang berkaitan dengan tanah yang ditentukan dari semasa ke semasa.

 

9.      Bidang tugas pengurusan tanah yang lengkap adalah seperti di Lampiran A dan penghuraian kerja Penolong Pegawai Tadbir Tanah dan Pembantu Tadbir Tanah adalah seperti di Lampiran A1 dan A2.

 

10.       Skim perkhidmatan baru Penolong Pegawai Tadbir Tanah dan Pembantu Tadbir Tanah adalah seperti di Lampiran B dan B1 dan contoh Iklan Jawatan bagi urusan pengambilan adalah seperti di Lampiran C dan C1.  Manakala Jadual Gaji Matriks Gred N9, N7, N6 dan N5 adalah seperti di Lampiran D, D1, D2 dan D3.

 

11.       Dengan berkuatkuasanya skim perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Tanah dan Pembantu Tadbir Tanah maka tugas-tugas pengurusan tanah di peringkat Kumpulan Sokongan merupakan tugas utama yang dipertanggungjawabkan kepada kedua-dua perkhidmatan baru ini.

 

PELAKSANAAN

 

12.       Semua Penolong Pegawai Tadbir Gred N6, N5 dan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N9, N7 yang menjalankan tugas-tugas pengurusan tanah di peringkat Kumpulan Sokongan adalah layak ditukar lantik ke perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Tanah Gred N6, N5 dan Pembantu Tadbir Tanah Gred N9, N7 mengikut gred-gred yang setaraf.

 

OPSYEN

 

13.       Pelaksanaan skim perkhidmatan Penolong Pegawai Tanah dibuat melalui pemberian opsyen kepada Penolong Pegawai Tadbir dan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) yang sedang menjalankan tugas-tugas pengurusan tanah sahaja.  Opsyen akan ditawarkan oleh Pihak Berkuasa Melantik melalui Ketua Perkhidmatan/Ketua Jabatan berkenaan.  Anggota yang bersetuju memilih opsyen akan ditukar lantik ke skim perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Tanah dan Pembantu Tadbir Tanah dan pemilihan yang dibuat adalah muktamad.

 

14.       Anggota yang terlibat akan diberi tempoh 30 hari mulai tarikh yang akan ditetapkan oleh Ketua Perkhidmatan/Ketua Jabatan untuk membuat pilihan sama ada menerima atau menolak tawaran opsyen ini.  Anggota yang tidak membuat sebarang opsyen atau gagal mengembalikan borang opsyen dalam tempoh yang ditetapkan tanpa sebab yang munasabah atau membuat opsyen dengan bersyarat akan dianggap sebagai tidak bersetuju untuk ditukar lantik ke perkhidmatan baru.  Mereka akan kekal sebagai Penolong Pegawai Tadbir atau Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi).

 

15.       Tawaran opsyen ini hanya diberi kepada anggota yang bertaraf tetap dalam perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir atau Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) dan telah memilih tawaran opsyen Sistem Saraan Baru (SSB). Anggota lantikan sementara/kontrak/sambilan adalah tidak terlibat dengan urusan pemberian opsyen ini.  

 

16.       Bagi maksud urusan pemberian opsyen, contoh Surat Tawaran, Syarat dan Peraturan Pertukaran Pelantikan dan Borang Pilihan Sendiri adalah seperti di Lampiran E, E1 dan E2.

 

KAEDAH PELARASAN GAJI

 

17.  Kaedah pelarasan gaji anggota adalah seperti berikut:-

 

(a)    Penolong Pegawai Tadbir Gred N6 dan Gred N5 diselaraskan ke Penolong Pegawai Tadbir Tanah Gred N6 dan Gred N5 manakala Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N9 dan Gred N7 diselaraskan ke Pembantu Tadbir Tanah Gred N9 dan Gred N7 masing-masing mulai 1 Oktober 2001;

 

(b)   gaji anggota diselaraskan ke matagaji tertinggi berhampiran mengikut Peringkat (P) gaji masing-masing dalam tanggagaji skim perkhidmatan baru sekiranya gaji dalam skim perkhidmatan lama adalah sama atau lebih tinggi daripada gaji permulaan dalam skim perkhidmatan baru; dan

 

(c)    anggota yang berada di matagaji maksimum dan mendapati gaji sekarang tidak dapat ditampung oleh mana-mana matagaji dalam skim perkhidmatan baru maka sifir pemindahan gaji Khas Untuk Penyandang (KUP) hendaklah dipohon daripada Bahagian Saraan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

 

TARIKH PERGERAKAN GAJI

 

18.       Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) asal bagi anggota yang terlibat dalam urusan ini hendaklah diubah kepada satu TPG baru pada tahun berikutnya selepas pelaksanaan pelarasan gaji.  TPG baru ialah mulai 1 Oktober tahun berikutnya.

 

19.       Anggota terlibat yang TPG asalnya sama dengan tarikh kuatkuasa urusan ini hendaklah diberi pergerakan gaji tahunan mengikut keputusan Panel Penyelarasan Penilaian Prestasi dan Pegerakan Gaji (PPG) terlebih dahulu sebelum diberi pelarasan gaji dalam skim perkhidmatan yang baru.  Contoh pelarasan gaji adalah seperti di Lampiran F hingga Lampiran F9.

 

KAEDAH PELAKSANAAN OPSYEN

 

20.       Bagi melaksanakan skim perkhidmatan baru ini, Ketua Jabatan dan anggota yang terlibat hendaklah mematuhi kaedah yang ditetapkan seperti berikut:-

 

 

            Ketua Jabatan

 

(i)         mengedarkan surat tawaran opsyen kepada anggota yang terlibat seperti contoh di Lampiran E, E1 dan E2.

 

(ii)                memberi penjelasan terperinci mengenai opsyen kepada anggota yang terlibat dan implikasi keputusan yang dibuat.

 

(iii)               mengemaskini kenyataan perkhidmatan anggota yang terlibat selaras dengan perubahan-perubahan berkaitan selepas urusan tukar lantik selesai.

 

(iv)              menghubungi Bahagian Pembangunan Organisasi, JPA untuk urusan pindaan jawatan Penolong Pegawai Tadbir dan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) ke jawatan Penolong Pegawai Tadbir Tanah dan Pembantu Tadbir Tanah sewajarnya.

 

(v)                melaporkan kepada Bahagian Saraan, JPA mengenai implikasi kewangan yang terlibat dalam urusan ini dengan menggunakan borang seperti di Lampiran G.

 

Anggota

 

(i)                  membaca dengan teliti dan faham mengenai opsyen sebelum membuat keputusan.  Jika terdapat sebarang keraguan, anggota hendaklah merujuk kepada Ketua Jabatan untuk mendapat penjelasan selanjutnya.  Sebarang opsyen yang dibuat adalah muktamad.

 

(ii)        membuat pilihan dalam tempoh 30 hari mulai dari tarikh yang ditetapkan oleh Ketua Perkhidmatan/Ketua Jabatan.

 

 

TARIKH  KUATKUASA  

 

21.       Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2001.  

 

PEMAKAIAN

 

22.       Pekeliling Perkhidmatan ini adalah untuk pemakaian di negeri Sabah sahaja tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa negeri tersebut.   

 

 

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”     

 

 

 

( DATO’ SERI JAMALUDDIN BIN HAJI AHMAD DAMANHURI )

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Malaysia. 

 

 

 

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM

MALAYSIA

PUTRAJAYA

 

28   DISEMBER 2001

 

 

Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah

Setiausaha, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah

 

 

  MUAT TURUN LAMPIRAN