KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA


PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 11 TAHUN 2001


ELAUN PERUMAHAN WILAYAH
BAGI PEGAWAI YANG BERTUKAR WILAYAH

 

 

TUJUAN

1.       Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk menjelaskan pelaksanaan pemberian Elaun Perumahan Wilayah (EPW) kepada pegawai yang bertukar Wilayah.


LATAR BELAKANG

2.       Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 1987 telah memperuntukkan kemudahan Had Kadar Sewa Rumah untuk pegawai yang bertukar Wilayah. Kemudahan tersebut dilaksanakan mulai 1 Januari 1988. Kerajaan telah menyemak semula peraturan dan pelaksanaan kemudahan tersebut dan memutuskan supaya ia diganti dengan pemberian EPW.


PELAKSANAAN

Takrifan

3.       “Pegawai yang bertukar Wilayah” ertinya

  3.1 pegawai yang berasal dari Sabah (termasuk Labuan) atau Sarawak yang dilantik dan/atau ditempatkan berkhidmat di Semenanjung; atau
 
  3.2 pegawai yang berasal dari Semenanjung yang dilantik dan/atau ditempatkan berkhidmat di Sabah (termasuk Labuan) atau Sarawak; atau
 
  3.3 pegawai yang berasal dari Sabah (termasuk Labuan) yang dilantik dan/atau ditempatkan berkhidmat di Sarawak dan pegawai yang berasal dari Sarawak yang dilantik dan/atau ditempatkan berkhidmat di Sabah (termasuk Labuan).

Kelayakan

4.       Pegawai yang bertukar Wilayah layak diberi EPW. Elaun ini tidak melibatkan anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

Kadar

5.       Kadar EPW adalah seperti di Lampiran A. Penentuan kelayakan kadar adalah berpandukan kepada bandar atau kawasan di mana terletaknya pejabat pegawai. Kawasan bandar hendaklah berpandukan kepada kawasan yang diwartakan sebagai kawasan Pihak Berkuasa Tempatan berkenaan.

Peraturan

6.       EPW dibayar kepada pegawai mulai dari tarikh pegawai melaporkan diri di Wilayah baru tertakluk kepada peraturan seperti berikut -

  6.1 pegawai yang dibayar EPW tidak layak Imbuhan Tetap Perumahan (ITP);
 
  6.2 pegawai yang tidak menduduki rumah kerajaan boleh memilih sama ada menerima EPW atau ITP;
 
  6.3 pegawai yang menduduki rumah kerajaan tidak layak EPW dan tidak layak ITP (rumah diperuntukkan kepada pegawai secara perseorangan atau secara berkongsi);
 
6.4  pegawai yang menduduki rumah kerajaan yang diperuntukkan kepada suami atau isteri, tidak layak EPW tetapi layak ITP;
 
6.5 pegawai suami dan isteri yang bertukar Wilayah dan tidak menduduki rumah kerajaan, boleh dibayar ITP masing-masing. Walau bagaimanapun, salah seorang antara mereka boleh memilih EPW;
 
6.6 pegawai yang bercuti tanpa gaji tidak layak kedua-dua EPW dan ITP;
 
6.7 pegawai yang telah membeli rumah dalam stesen pegawai berkhidmat dengan pinjaman perumahan Kerajaan tidak layak EPW;
 
6.8 pegawai yang menghadiri kursus melebihi 3 bulan tidak layak EPW; dan
 
6.9 pegawai yang bertukar Wilayah yang dibenarkan menduduki hotel melebihi tempoh yang ditetapkan dalam Pekeliling Perbendaharaan semasa pertukaran, akan kehilangan secara proportionate EPW bagi tempoh tambahan yang beliau tinggal di hotel.
 

7.       Semua pegawai yang bertukar Wilayah dikehendaki mengisi Borang JPA (EPW) yang dilampirkan untuk maksud menentukan kelayakan masing-masing. Panduan untuk menentukan kelayakan EPW atau ITP adalah seperti di Lampiran B.

Rumah Yang Disediakan Oleh Jabatan

8.       Di mana terdapat Rumah Khas Jabatan atau Rumah Khas Jawatan yang disediakan oleh Jabatan/Agensinya, maka pegawai tidak ada pilihan dan dikehendaki menduduki rumah berkenaan. Dengan itu, pegawai tidak lagi layak EPW atau ITP.

Kemudahan Had Kadar Sewa Rumah

9.       Pegawai yang sedang menikmati kemudahan Had Kadar Sewa Rumah mengikut peraturan pertukaran Wilayah di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bil. 6 Tahun 1987, adalah dibenarkan terus menikmati kemudahan tersebut sehingga berlakunya salah satu daripada keadaan berikut:

  9.1 pegawai memilih untuk menamatkan perjanjian sewa rumah; atau
 
  9.2 perjanjian sewa rumah ditamatkan oleh tuan rumah; atau
 
  9.3 sehingga 31 Disember 2002.


TARIKH KUATKUASA

10.       Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2002.


PEMAKAIAN

11.       Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.


PEMBATALAN

12.       Dengan berkuatkuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, perenggan 7 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 1987 adalah dibatalkan.

 



BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

( DATO’ SERI JAMALUDDIN BIN HJ. AHMAD DAMANHURI )

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia.

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
PUTRAJAYA

29 November 2001

 

Semua Ketua Setiausaha Kementerian

Semua Ketua Jabatan Persekutuan

Semua Y. B. Setiausaha Kerajaan Negeri

Semua Pihak Berkuasa Berkanun

Semua Pihak Berkuasa Tempatan

 

MUAT TURUN LAMPIRAN