KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA


PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 9 TAHUN 2001


BAYARAN KHAS PRESTASI 2001



TUJUAN

1.      Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan untuk memberi Bayaran Khas Prestasi 2001 kepada anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf.

LATAR BELAKANG

2.      Kerajaan telah membuat keputusan supaya Bayaran Khas Prestasi bagi tahun 2001 dibayar kepada anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan setaraf bagi menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti serta komitmen dan dedikasi mereka kepada negara. Kadar yang diputuskan adalah sebanyak setengah bulan gaji.

PELAKSANAAN

3.      Syarat-syarat pembayaran Bayaran Khas Prestasi 2001 adalah sama seperti syarat-syarat pembayaran Bayaran Khas Prestasi 1999 yang dijelaskan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 1999 dengan dibuat penyesuaian tahun 1999 kepada tahun 2001.

4.      Anggota yang layak akan dibayar sebanyak separuh pada bulan November dan separuh lagi pada bulan Disember 2001.

JABATAN YANG MEMBAYAR BAYARAN KHAS PRESTASI

5.      Bagi anggota yang berkhidmat di beberapa Jabatan dalam tahun 2001, pembayaran Bayaran Khas Prestasi adalah menjadi tanggungan Jabatan di mana anggota ditempatkan pada bulan pembayaran.

TARIKH KUATKUASA

6.      Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan.

PEMAKAIAN

7.      Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.



“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

(DATO’ SERI JAMALUDDIN BIN HAJI AHMAD DAMANHURI)

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia.

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
PUTRAJAYA

2 November 2001

Semua Ketua Setiausaha Kementerian

Semua Ketua Jabatan Persekutuan

Semua Y. B. Setiausaha Kerajaan Negeri

Semua Pihak Berkuasa Berkanun

Semua Pihak Berkuasa Tempatan