KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA


PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 8 TAHUN 2001



IMBUHAN TAHUNAN 2001


TUJUAN

1.      Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan untuk memberi Imbuhan Tahunan kepada anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan bagi tahun 2001.

 

LATAR BELAKANG

2.      Kerajaan telah membuat keputusan supaya Imbuhan Tahunan bagi tahun 2001 dibayar kepada anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan bagi menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti serta komitmen dan dedikasi mereka kepada negara. Kadar yang diputuskan adalah sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000.00.

 

PELAKSANAAN

3.      Syarat-syarat pembayaran Imbuhan Tahunan 2001 adalah sama seperti syarat-syarat pembayaran Imbuhan Tahunan 2000 yang dijelaskan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 18 Tahun 2000 dengan dibuat penyesuaian tahun 2000 kepada tahun 2001.

4.      Anggota yang layak akan dibayar sebanyak separuh daripada kadar Imbuhan Tahunan 2001 pada bulan Oktober dan separuh lagi pada bulan November 2001.

 

JABATAN YANG MEMBAYAR IMBUHAN TAHUNAN

5.      Bagi anggota yang berkhidmat di beberapa Jabatan dalam tahun 2001, pembayaran Imbuhan Tahunan adalah menjadi tanggungan Jabatan di mana anggota ditempatkan pada bulan pembayaran.

TARIKH KUATKUASA

6.      Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan.

 

PEMAKAIAN

7.      Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

 

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”



(DATO’ SERI JAMALUDDIN BIN HAJI AHMAD DAMANHURI)

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia.

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
PUTRAJAYA

24 Oktober 2001

 

Semua Ketua Setiausaha Kementerian

Semua Ketua Jabatan Persekutuan

Semua Y. B. Setiausaha Kerajaan Negeri

Semua Pihak Berkuasa Berkanun

Semua Pihak Berkuasa Tempatan