KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA

_________________________

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 17 TAHUN 2000

_________________________

 

PEMAKAIAN AKTA BADAN-BADAN BERKANUN
(TATATERTIB DAN SURCAJ) 2000 [AKTA 605]


TUJUAN

1.    Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk memaklumkan badan-badan berkanun Persekutuan tentang kaedah bagi mengguna pakai Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000.


LATAR BELAKANG


2.    Kerajaan telah menggubal satu Akta yang dikenali sebagai Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000 [Akta 605] untuk menangani perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan tatatertib di semua badan-badan berkanun Persekutuan. Akta ini bertujuan untuk menyeragamkan peraturan-peraturan tatatertib dan bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh badan-badan berkanun Persekutuan yang belum mempunyai peraturan tatatertibnya sendiri.


PEMAKAIAN


3.    Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000 [Akta 605] ini telah diluluskan oleh Parlimen pada 31 Julai 2000 dan berkuat kuasa pada 1 November 2000.

4.    Badan-badan berkanun Persekutuan hendaklah mengambil perhatian dan ingatan bahawa menurut seksyen 28 Akta 605 ini dengan berkuatkuasanya Akta ini semua peruntukan yang berhubungan dengan tatatertib, penamatan perkhidmatan demi kepentingan awam dan surcaj yang sedia terdapat dalam undang-undang pemerbadanan badan berkanun Persekutuan masing-masing dan apa-apa perundangan subsidiari yang dibuat di bawahnya hendaklah terhenti terpakai bagi semua badan berkanun Persekutuan berkenaan.

5.    Akta 605 ini adalah terpakai bagi semua badan berkanun Persekutuan yang menerima pakai Sistem Saraan Baru, kecuali badan-badan berkanun Persekutuan yang diasingkan sistem saraannya sebagaimana yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta 605. Sungguhpun demikian, badan-badan berkanun Persekutuan yang sistem saraannya diasingkan, hendaklah seberapa yang boleh memastikan peraturan-peraturan tatatertib yang sedang diguna pakai diselaraskan dengan peraturan-peraturan tatatertib dalam Jadual Kedua Akta 605 dengan membuat pengubahsuaian aspek-aspek tertentu yang selaras dengan sistem pengurusan, sistem saraannya dan keperluan semasa badan-badan berkanun Persekutuan yang berkenaan menurut peruntukan undang-undang pemerbadanannya masing-masing.

6.    Badan-badan berkanun Persekutuan yang sistem saraannya diputuskan oleh kerajaan akan diasingkan, pada atau selepas berkuatkuasanya Akta 605 dan Pekeliling Perkhidmatan ini, bolehlah mengemukakan permohonannya untuk disenaraikan ke dalam Jadual Pertama Akta 605 bagi dikecualikan daripada pemakaian Akta 605 ini. Permohonan ini hendaklah dikemukakan ke Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia yang seterusnya membuat perakuan kepada Y.A.B. Perdana Menteri untuk mendapat persetujuan sewajarnya.


PELAKSANAAN

7.    Semua badan berkanun Persekutuan hendaklah menerima pakai peraturan-peraturan tatatertib yang ditetapkan dalam Jadual Kedua Akta 605 pada tarikh mula berkuatkuasanya Akta 605.


TEMPOH PERALIHAN

8.    Jika apa-apa kesalahan tatatertib yang dilakukan atau yang dikatakan telah dilakukan oleh seseorang pegawai sesuatu badan berkanun Persekutuan sebelum tarikh mula berkuatkuasanya Akta 605 ini, dan prosiding tatatertib belum dimulakan, tindakan tatatertib hendaklah diuruskan di bawah peruntukan undang-undang pemerbadanan badan berkanun itu. Walau bagaimanapun pegawai berkenaan hendaklah diberitahu bahawa dia boleh memilih untuk kesalahan tatatertib itu diuruskan di bawah Akta ini .

9.    Apa-apa prosiding yang masih belum selesai pada tarikh mula berkuatkuasanya Akta 605 ini hendaklah diteruskan dan dikendalikan mengikut peraturan-peraturan tatatertib yang sedia terpakai bagi prosiding itu dibawah undang-undang pemerbadanan badan berkanun Persekutuan yang berkenaan, masing-masing.


TARIKH PERMULAAN KUAT KUASA

10.   Pekeliling Perkhidmatan ini mula berkuat kuasa pada 1 November 2000.

 

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

( TAN SRI DATO' SAMSUDIN BIN OSMAN )

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam,
Malaysia

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
KUALA LUMPUR

OKTOBER 2000

 

Semua Ketua Setiausaha Kementerian

Semua Ketua Eksekutif Badan-Badan Berkanun Persekutuan