KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA


PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 16 TAHUN 2000


SKIM PERKHIDMATAN PEGAWAI PEMERIKSA PATEN


TUJUAN

1.      Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan kerajaan mewujudkan skim perkhidmatan baru iaitu Pegawai Pemeriksa Paten di bawah klasifikasi perkhidmatan Penyelidikan dan Pembangunan.

LATAR BELAKANG

2.      Di bawah Sistem Saraan Baru (SSB) salah satu fungsi yang ditetapkan bagi perkhidmatan Pegawai Ehwal Ekonomi di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN & HEP) ialah fungsi pemeriksaan paten.

3.      Kerajaan telah meneliti semula ketetapan ini dan selaras dengan perkembangan terbaru mendapatinya tidak sesuai kekal di bawah klasifikasi perkhidmatan Ekonomi sebaliknya lebih sesuai dijadikan sebahagian daripada fungsi di bawah klasifikasi perkhidmatan Penyelidikan dan Pembangunan. Langkah ini bertepatan dengan tugas pemeriksaan paten yang merangkumi penilaian dan penentuan hasil penyelidikan untuk tujuan pembangunan di samping menguatkuasa akta-akta yang berkaitan seperti Akta Paten 1983, Peraturan-Peraturan Paten 1986 dan pindaan-pindaan ke atasnya.


SKIM PERKHIDMATAN BARU

4.      Berikutan perubahan klasifikasi perkhidmatan tersebut, satu skim perkhidmatan baru dikenali sebagai Pegawai Pemeriksa Paten telah diwujudkan bagi menampung anggota yang melaksanakan tugas-tugas pemeriksaan paten. Pewujudan skim perkhidmatan baru ini ialah untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam aspek perlindungan harta intelek dan seterusnya untuk menarik pelabur asing dan pemindahan teknologi tinggi dan termaju ke Malaysia selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

5.      Tugas utama skim perkhidmatan baru ini ialah menjalankan kajian dan pemeriksaan ke atas permohonan paten, pembaharuan utiliti mengikut kehendak Akta Paten 1983, Peraturan-Peraturan Paten 1986 dan pindaan ke atasnya serta menasihati Pendaftar Paten atau Lembaga Paten untuk meluluskan atau menolak permohonan paten.

6.      Kandungan terperinci mengenai skim perkhidmatan ini adalah seperti di Lampiran A1. Contoh iklan bagi urusan pengambilan ke perkhidmatan ini serta deskripsi tugas lengkapnya adalah seperti di Lampiran A2, B1 dan B2.


PELAKSANAAN

Perjawatan

7.      KPDN & HEP hendaklah menghubungi Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam untuk mewujudkan jawatan Pegawai Pemeriksa Paten secara tukarganti dengan memansuhkan jawatan Pegawai Ehwal Ekonomi di Unit Paten, Bahagian Harta Intelek berasaskan keperluan sebenar agensi.


Pemberian Opsyen

8.      Pelaksanaan skim perkhidmatan Pegawai Pemeriksa Paten ini dibuat menerusi pemberian opsyen dan pilihan yang dibuat adalah muktamad. Anggota yang terlibat diberi tempoh 30 hari mulai tarikh opsyen untuk membuat pilihan samada menerima atau menolak tawaran ini. Anggota yang tidak membuat sebarang opsyen atau gagal mengembalikan borang opsyen dalam tempoh yang ditetapkan tanpa sebab yang munasabah atau membuat opsyen dengan bersyarat akan dianggap sebagai tidak bersetuju untuk ditukar lantik ke skim perkhidmatan baru ini. Mereka akan kekal dalam skim perkhidmatan sekarang sehingga meninggalkan perkhidmatan.

9.      Tawaran opsyen ini hanya diberi kepada anggota yang bertaraf tetap dalam skim perkhidmatan Pegawai Ehwal Ekonomi di Unit Paten, Bahagian Harta Intelek, KPDN & HEP dan telah memilih opsyen SSB. Anggota lantikan sementara, kontrak dan sambilan adalah tidak terlibat dalam pemberian opsyen ini.


Kaedah Pelarasan Gaji

10.     Kaedah pelarasan gaji anggota adalah seperti berikut:-
  (a) gaji anggota diselaras ke matagaji tertinggi berhampiran dalam tanggagaji jawatan baru sekiranya gaji jawatan lama adalah sama atau lebih tinggi daripada gaji permulaan dalam jawatan baru; dan
     
  (b) anggota yang berada di matagaji maksimum dan mendapati gaji sekarang tidak dapat ditampung oleh mana-mana matagaji dalam skim perkhidmatan baru, maka sifir pemindahan gaji KUP hendaklah dipohon dari Bahagian Saraan, JPA.


TARIKH PERGERAKAN GAJI

11.      Tarikh pergerakan gaji (TPG) asal bagi anggota yang terlibat dalam urusan ini adalah tidak berubah.

12.      Anggota yang terlibat yang TPG asalnya sama dengan tarikh kuatkuasa urusan ini hendaklah diberi pergerakan gaji tahunan mengikut keputusan Panel Penyelarasan Penilaian Prestasi dan Pergerakan Gaji terlebih dahulu sebelum diberi pelarasan gaji dalam skim perkhidmatan yang baru.


KAEDAH PELAKSANAAN OPSYEN

13.      Bagi melaksanakan skim perkhidmatan baru ini, KPDN & HEP dan anggota yang terlibat hendaklah mematuhi kaedah yang ditetapkan seperti berikut:-

KPDN & HEP

  (i) mengedarkan surat tawaran opsyen kepada anggota yang terlibat. Contoh surat tawaran opsyen adalah seperti di Lampiran C.
  (ii) memberi penjelasan terperinci mengenai opsyen kepada anggota yang terlibat dan implikasi keputusan yang dibuat.
(iii) mengemaskini kenyataan perkhidmatan anggota yang terlibat selaras dengan perubahan-perubahan berkaitan; dan
(iv) melaporkan kepada Bahagian Saraan, JPA mengenai implikasi kewangan yang terlibat dalam urusan ini dengan menggunakan borang seperti di Lampiran D.
     
Anggota
(i) membaca dengan teliti dan faham mengenai opsyen sebelum membuat keputusan. Jika terdapat sebarang keraguan, anggota hendaklah merujuk kepada Ketua Jabatan untuk mendapat penjelasan selanjutnya. Sebarang opsyen yang dibuat adalah muktamad.
(ii) melengkapkan 2 salinan borang opsyen iaitu satu salinan untuk disimpan oleh KPDN & HEP dan satu salinan untuk anggota berkenaan.
  (iii) membuat pilihan dalam tempoh 30 hari mulai dari tarikh surat tawaran.

 

TARIKH KUATKUASA

14.      Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2000.


PEMAKAIAN

15.      Peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini adalah terpakai untuk KPDN & HEP sahaja.

 

" BERKHIDMAT UNTUK NEGARA "

( TAN SRI DATO’ SAMSUDIN BIN OSMAN )

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia.

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
KUALA LUMPUR

Ogos 2000

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
dan Hal Ehwal Pengguna

Kementerian Kewangan Malaysia